Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara Walkaton erat hubungan silaturahim

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Guru ke-33, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum telah mengadakan Acara Walkaton yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan pelepasan peserta walkaton ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Walkaton sejauh 3 kilometer itu antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) serta orang ramai.

    Selain itu, ia juga menggalakkan amalan cara hidup yang sihat dan sokongan bagi mencapai 80 Billion Langkah Bersama Kementerian Kesihatan serta menyemarakkan lagi suasana Program Bandarku Ceria.

    Acara pada tahun ini juga diisikan dengan beberapa acara sampingan seperti Jejak Ta’limi anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum yang merupakan aktiviti mini treasure hunt di sekitar Bandar Seri Begawan untuk memeriahkan lagi Acara Walkaton di samping menguji para peserta melalui daya pemikiran, fizikal dan kemahiran.

    Turut diadakan adalah Acara Sukan Ria sempena Hari Keluarga Kementerian Pendidikan anjuran Jabatan Sekolah-sekolah, yang diisikan dengan beraneka aktiviti kendalian setiap kluster di jabatan berkenaan.

    Selain itu, aktiviti Rabah Rimpah CDD juga diadakan anjuran Jabatan Perkembangan Kurikulum iaitu aktiviti berpasukan yang menguji minda dan fizikal di mana para peserta perlu menyelesaikan cabaran berbentuk kuiz atau aktiviti fizikal di setiap titik semak.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyertai sesi pemanasan badan sebelum memulakan Acara Walkaton. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda