Monday, October 21, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara walkaton meriahkan Program Bandarku Ceria

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Bagi memeriahkan dan menyemarakkan sambutan Hari Guru ke-34, 2024, warga Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) berserta keluarga tidak melepaskan peluang untuk menyertai acara walkaton yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelepasan peserta walkaton ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai, pemimpin-pemimpin sekolah, guru-guru serta kakitangan Kementerian Pendidikan dan KHEU.

    Acara dimulakan dengan sesi memanaskan badan dan diikuti dengan pelepasan para peserta yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan sejauh tiga kilometer yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    Acara berkenaan dianjurkan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan selaku Jawatankuasa Acara-Acara Sukan bagi Sambutan Hari Guru ke-34, Tahun 2024 yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan dan KHEU.

    Acara itu diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan emosi, sosial dan mental para peserta, di samping bagi menyokong hasrat negara menuju cara hidup sihat serta memeriahkan lagi suasana Program Bandarku Ceria.

    Di samping acara walkaton, pada tahun ini juga diadakan Acara Sukan Ria Sempena Hari Keluarga Kebangsaan 2024 anjuran Jabatan Sekolah-Sekolah yang dibukakan kepada warga Kementerian Pendidikan dan orang ramai.

    Acara itu diisikan dengan pelbagai permainan menarik yang dikendalikan oleh setiap kluster di bawah Jabatan Sekolah-sekolah, yang bermatlamat untuk mengeratkan dan meningkatkan hubungan kekeluargaan serta silaturahim dalam kalangan pemimpin sekolah, guru-guru, ibu bapa, pelajar, kakitangan sekolah dan seluruh warga Kementerian Pendidikan di pelbagai peringkat.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyertai sesi memanaskan badan sebelum acara walkaton. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda