Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara walkaton sasar 80 bilion langkah

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Setelah kejayaan versi pertama, BN on the Move versi terkini telah dilancarkan hari ini, yang dimeriahkan dengan kehadiran orang ramai menunjukkan sokongan dan sama-sama menyertai dalam mencapai matlamat Kempen 80 Bilion Langkah Bersama dengan menyertai acara walkaton, BN on the Move.

    Acara walkaton yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien itu bermatlamat untuk menggalakkan negara bergerak ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama menyertai acara walkaton ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; serta Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Terdahulu, sesi memanaskan badan diadakan sebelum pelepasan acara walkaton yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.

    Menteri-menteri kabinet semasa memulakan acara walkaton di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Ribuan peserta telah mengambil bahagian dalam acara tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Seterusnya, menteri-menteri kabinet bersama orang ramai berjalan sejauh kira-kira 6 kilometer dari taman berkenaan sehingga Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan kembali semula untuk sama-sama menyumbang kepada kempen 80 Bilion Langkah Bersama.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham kemudian menyaksikan pameran-pameran kesihatan dan teknologi daripada rakan-rakan usaha sama yang terlibat dengan menjayakan acara BN on the Move.

    Dalam temu bual ringkas bersama pihak media, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyatakan bahawa kehadiran orang ramai yang sungguh memberangsangkan itu menunjukkan bahawa inisiatif pendekatan senegara itu, mendapat sokongan daripada ramai orang untuk sama-sama menyertai aktiviti fizikal bagi menjayakan inisiatif BN on the Move.

    Beliau berharap ia merupakan satu dorongan bagi orang ramai untuk terus bergerak aktif di mana setiap langkah itu amat bermakna.

    “Saya berharap pada penghujung tahun nanti, kita akan mencapai matlamat 80 bilion langkah dan saya amat yakin kita akan berjaya mencapainya,” tambahnya.

    Beliau menyatakan bahawa daripada kejayaan kempen yang terdahulu, kita dapat menyaksikan lebih ramai orang bergerak aktif serta mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti riadah fizikal.

    Kempen itu, jelasnya, masih lagi mengekalkan matlamatnya iaitu untuk terus menggalakkan masyarakat kekal bergerak aktif di mana setiap langkah yang diambil adalah amat bermakna.

    Kempen BN on the Move yang terbaharu itu merupakan kesinambungan daripada inisiatif pertama yang telah dilancarkan pada 14 Ogos 2022 dengan kempen terbaharu akan berakhir pada Disember 2023.

    Berdasarkan kejayaan versi pertama, BN on the Move terbaharu telah diubah suai dengan meluaskan skop untuk meliputi pelbagai jenis kegiatan fizikal serta senaman, menarik orang ramai bagi terus menggunakan aplikasi BruHealth dan akan menawarkan pengalaman pengguna yang dipertingkatkan dengan ciri-ciri tambahan seperti pertandingan berkumpulan serta sistem mata insentif.

    Ciri-ciri baharu yang diperkenalkan adalah selain daripada pengiraan jumlah langkah setiap hari, pengguna akan dapat melaporkan pelbagai jenis kegiatan fizikal dan senaman termasuk aktiviti kesukanan seperti berenang, berbasikal dan juga aktiviti di gimnasium dalam BN on the Move.

    Sementara itu, Gamification yang menyediakan pertandingan atau cabaran-cabaran untuk individu dan secara berpasukan bagi mendorong pengguna lebih melibatkan diri dan berdaya saing dalam melakukan kegiatan fizikal, membolehkan pengguna berinteraksi dengan pengguna yang lain, melalui sistem leaderboard sebagai motivasi bersama.

    Manakala itu, sistem mata Brupoints akan dikenalkan sebagai insentif untuk meningkatkan kegiatan fizikal yang akan menjana mata Brupoints mengikut jenis aktiviti pengguna dengan menawarkan pelbagai insentif secara digital dan fizikal yang boleh diperoleh apabila pengguna telah memenuhi sasaran kegiatan fizikal secara individu dan juga berpasukan.

    Mata yang dikumpulkan berfungsi sebagai insentif bagi mendorong pengguna untuk mengamalkan gaya hidup yang aktif secara berterusan dengan sistem mata insentif berkenaan dikenali sebagai BruPoints Mall.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda