Accord baharu untuk tempahan

KUALA LUMPUR, 14 FEB – Pengeluar kereta dari Jepun, Honda telah membuka tempahan untuk model Accord generasi ke-10 di semua 100 syarikat pengedarnya di seluruh negara.

Pelancaran rasmi untuk model tersebut dijadualkan pada suku pertama tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Toichi Ishiyama berkata Accord serba baharu itu dijangka menjadi kayu pengukur kepada sedan generasi akan datang dengan prestasi yang tidak dapat ditandingi, reka bentuk yang bergaya dan premium serta ciri-ciri keselamatan dan teknologi yang terkini.

“Accord generasi ke-10 itu juga kini dilengkapi dengan enjin caj turbo yang dipertingkatkan, dan menempatkan Honda sebagai satu-satunya pengeluar pasaran massa Jepun memperkenalkan enjin berkuasa tinggi dalam segmen D,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syarikat itu yakin Accord akan dapat memberikan kegembiraan kepada pasaran, terutamanya mereka yang mencari sedan dengan pakej premium yang lengkap.

Dikuasakan oleh enjin caj turbo VTEC 1.5 liter yang dipertingkatkan dan lebih berkuasa daripada prestasi enjin 2.4 liter, Accord baharu itu dilengkapi dengan Honda SENSING yang mempunyai ciri-ciri, antara lain, Kawalan Pemanduan Adaptif, Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan, Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran dan Amaran Keluar Lorong. – Bernama