Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ACD2025 medan bincang isu gerakan koperasi ASEAN

    PETALING JAYA, 4 MEI – ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD2025) yang dijadual diadakan pada 13 dan 14 Mei ini, akan menjadi medan bagi membincangkan pelbagai isu kritikal melibatkan gerakan koperasi dalam kalangan negara ASEAN.

    Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata ACD2025 selain berperanan mengiktiraf gerakan koperasi di rantau ini, ia juga peluang untuk meneroka kerjasama strategik seperti perdagangan, pelancongan, teknologi digital, kewangan Islam dan pembangunan produk halal.

    “Kebanyakan negara hanya fokus kepada koperasi pertanian dan kita harap dengan adanya ACD2025, peranan dan sumbangan koperasi diangkat menjadi wadah yang lebih besar merentasi pelbagai sektor dan kita cadangkan ia juga diletak dibawah sektor ekonomi,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Prapeluncuran ACD2025 yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud di ibu pejabat Angkasa di Petaling Jaya, hari ini.

    Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) berkata ACD2025 adalah peluang terbaik untuk menampilkan pencapaian koperasi Malaysia di pentas serantau khususnya dalam sektor pendidikan, komuniti dan pengguna.

    Selain itu, inisiatif berkenaan membuka potensi baharu untuk koperasi kecil dan sederhana menembusi pasaran ASEAN melalui konsep koperasi ke koperasi (C2C), sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi dari akar umbi.

    Beliau berkata ACD2025 yang bertemakan Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat mendapat sokongan penuh kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi peruntukan yang diumumkan ketika Kongres Koperasi Kebangsaan pada 26 Julai 2024 berjumlah RM6 juta kepada Angkasa bagi memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik.

    Abdul Fattah berkata daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM1 juta adalah peruntukan baharu khusus bagi pelaksanaan program ASEAN Co-operative sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN 2025. – Bernama

    Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah pada sidang media selepas Majlis Pra Peluncuran ASEAN Cooperative Dialogue (ACD) 2025, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda