Selepas berita perceraian penyanyi dan pelakon Indonesia, Acha Septriasa dengan suaminya, Vicky Kharisma terbongkar, tumpuan peminat kini terarah kepada hubungan rapat pelakon itu dengan aktor terkenal, Baim Wong.
Memetik laporan mStar, timbul dakwaan mengatakan Acha, 35 dan Baim mempunyai hubungan istimewa apabila mereka dilihat beberapa kali memuat naik foto bersama dengan anak masing-masing di media sosial.
Malah kemesraan yang dikongsikan menerusi gambar-gambar tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat.
Bagaimanapun menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat menitipkan pesanan agar hubungan mereka tidak melangkaui batas kerja sekiranya benar wujud gosip percintaan.
“Apakah Baim bercinta dengan Acha? Nampak mesra lain macam.
“Mudah-mudahan hanya projek lakonan sahaja, janganlah Acha bercinta dengan Baim.
“Jangan ada apa-apa hubungan dengan Baim ya Acha, kami peminat tak restu,” tulis warganet.
Untuk rekod, Acha mendirikan rumah tangga dengan Vicky pada 11 Disember 2016, namun rumah tangga mereka berakhir apabila Acha memfailkan tuntutan pada 13 Disember 2024 dan sah bercerai pada 19 Mei lalu.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Bridgia Kalina Kharisma yang kini berusia 8 tahun. – Agensi


