Tawaran membintangi filem seram, Qodrat 2 seakan jawapan dari Ilahi buat teraju utamanya, Acha Septriasa, 35, yang membawakan watak Azizah.
Kongsi aktres popular Indonesia yang kini menetap di Sydney, Australia itu, dia berdoa bersungguh-sungguh memohon diberikan naskhah yang boleh mendekatkan diri kepadaNya selepas solat Asar.
Bagaimanapun, katanya, tak sampai 10 minit, doanya dijawab apabila menerima panggilan telefon pengarah Qodrat 2, Charles Gozali. Panggilan itu amat mengejutkan, sekali gus menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Yang Maha Esa.
“Saya seperti tak percaya dan kebingungan, baru 10 minit saya berdoa mohon diberikan pekerjaan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah, tiba-tiba dapat panggilan daripada Charles.
“Apa yang membuatkan saya lebih terharu apabila Charles memberitahu lima orang mencadangkan nama saya membawakan watak Azizah,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana filem Qodrat 2 di ibu negara, semalam.

Walaupun penggambaran sudah lama berakhir, namun, Acha berkata, dia masih belum mahu mengikis watak Azizah daripada dirinya.
Katanya, dia dan Azizah kini berjalan beriringan kerana sedang berusaha memperbaiki diri membabitkan soal ibadah.
“Watak Azizah paling memberi kesan sepanjang kerjaya lakonan. Azizah membantu saya untuk mendekatkan lagi kepada Allah.
“Selama ini saya hanya sekadar membaca tanpa memahami makna dalam solat. Tapi, saya mula memperbaiki solat dengan cuba memahami makna bacaan sejak membintangi filem Qodrat 2,” katanya.
Sementara itu, Acha bersyukur tidak mengalami sebarang gangguan sepanjang 50 hari di lokasi penggambaran. Ini berikutan diberi minum air penawar setiap kali berada di set.
“Ustaz menjaga di set mengatakan magnet saya tinggi dan energi banyak, justeru ada yang mahu mengikut. Jadi, ustaz minta saya minum air penawar,” kongsinya lagi.
Qodrat 2 mengisahkan perjalanan Ustaz Qodrat dalam menyelamatkan isteri, Azizah yang menghilang selepas tragedi yang menimpa keluarga mereka.
Selepas kehilangan anak, Ustaz Qodrat harus menghadapi tentangan yang lebih berat, termasuk ancaman kekuatan jahat. Azizah pula berdepan depresi akibat kehilangan anak dan pernah dirawat di rumah sakit jiwa.
Qodrat 2 menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula hari ini. Sehingga kini, filem itu mencatat kutipan lebih dua juta di Indonesia. – Agensi