Kunjungan tiga pelawak iaitu Achey, Fad dan Atu menziarahi kubur milik sahabat mereka iaitu Allahyarham Abam menyentuh hati peminat.
Menurut mStar yang memetik video yang dimuat naik Fad atau Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, 33, di TikTok miliknya memaparkan dia bersama dua lagi rakannya itu menziarahi pusara Allahyarham ketika sedang hujan.
Berhimpit dalam satu payung, warganet tersentuh melihat keakraban mereka menghargai persahabatan yang terjalin meskipun Abam sudah tiada di sisi.
Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 37, turut sempat bertanya tujuan mereka datang ke tanah perkuburan tersebut dan terus menjawab untuk menziarahi sahabatnya sebelum kamera dialihkan ke arah pusara arwah.
“Buat apa hujan-hujan ini? Melawat sahabat. Assalamualaikum Abam. Sejuk tak Abam?,” katanya.
Video berdurasi 32 saat itu juga turut memperlihatkan riak wajah ketiga-tiga sahabat itu muram seolah-olah mengimbau kembali kenangan bersama Allahyarham.
Dalam perkongsian yang lain, Fad meluahkan rasa rindu terhadap kumpulan yang pernah dibina bersama Allahyarham suatu ketika dahulu.
Menerusi video tersebut juga memaparkan dia bersama Achey sempat bergurau senda dengan arwah semasa merakamkan sebuah iklan untuk program rancangan televisyen.
“Rindu Bocey,” luahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut sebak melihat persahabatan mereka yang setia meskipun Abam sudah meninggal dunia.
Mereka juga menyedari wajah-wajah ketiga-tiga pelawak itu seakan menahan sebak merindui kenangan bersama Allahyarham.
“Fad nampak sebak, iyalah sahabat baik suka duka sama-sama. Mesti rindu Abam.
“Ini baru betul sahabat, dari hidup hingga dah tiada masih kekal bersama.
“Kalau hujan tandanya mesti Abam seronok sambil sedih lihat kawan-kawan dia datang,” antara komen warganet. – Agensi