Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ackermann tawan peringkat kelima

    TERRACINA, 16 Mei – Pascal Ackermann dari Jerman telah memenangi pecutan akhir peringkat kelima Giro d’Itali yang terjejas oleh hujan lebat, meraih kemenangan keduanya dalam perlumbaan tahun ini sementara bekas pemenang Tom Dumoulin menarik diri sehari selepas mengalami kecederaan lutut akibat kemalangan.

    Penunggang Bora-Hansgrohe, Ackermann, mengatasi penunggang UAE Team Emirates, Fernando Gaviria dari Colombia.

    Sembilan kilometer terakhir tidak memberikan impak kepada masa keseluruhan kerana mereka dineutralkan oleh keadaan cuaca buruk.

    Primoz Roglic dari pasukan Jumbo-Visma, mempertahankan pendahuluan 35 saat selepas peringkat sejauh 140 km itu, di depan Simon Yates dari Mitchelton-Scott dan Vincenzo Nibali berada di kedudukan ketiga dengan 39 saat.

    “Ia adalah hari yang menakutkan kerana cuaca hujan,” kata Ackermann, 25, bersaing bagi Giro pertamanya, dan setakat ini telah mempunyai lima kemenangan musim ini.

    Louis Vervaeke dari Belgium telah lama mendahului perlumbaan selepas pelepasan di Frascati, sebelum berjaya dikejar 23 km dari garisan penamat.

    Sementara itu ia adalah hari yang teruk buat penunggang Belanda, Dumoulin, pemenang Giro 2017, yang memulakan perlumbaan sebagai pilihan utama selepas menamatkan di tempat kedua tahun lepas, tewas kepada Chris Froome.

    Dumoulin juga meraih tempat kedua Tour de France pada 2018 dan memenangi uji masa kejohanan dunia itu pada 2017.

    Penunggang berusia 28 tahun itu berada di kedudukan 56 dengan 4 minit dan 30 saat di belakang Roglic, selepas terlibat dalam kemalangan besar tujuh kilometer dari garisan penamat pada perlumbaan keempat. – AFP

    Pascal Ackermann meraikan kemenangannya dalam perlumbaan peringkat kelima Giro. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda