Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    ACMF tangani cabaran pembangunan mapan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – ASEAN Capital Market Forum (ACMF) telah mengadakan Mesyuarat Pengerusi ACMF ke-37 yang berlangsung di Hotel Sofitel Phnom Penh Phokeethra, Phnom Penh, Kemboja, kelmarin.

    Mesyuarat berkenaan telah mencapai komitmennya bagi tahun 2022 untuk menggalakkan pembangunan yang mampan, keterangkuman dan daya ketahanan, meskipun kesan kemelesetan ekonomi global dan pandemik COVID-19. Mesyuarat yang dihoskan oleh Badan Pengawal Selia Sekuriti dan Bursa Kemboja (SERC) telah mengesahkan Piawaian Bon berkaitan Kemampanan ASEAN dan Piawaian Dana Mampan dan Bertanggungjawab ASEAN yang akan menyokong ASEAN dalam mengurangkan jurang ke arah Agenda 2030 dalam usaha memerangi perubahan iklim.

    Selain itu, pengesahan kedua-dua piawaian tersebut menunjukkan komitmen kumpulan untuk memenuhi objektif strategik Pelan Tindakan ACMF 2021-2025.

    Mesyuarat itu juga mengambil maklum mengenai kemajuan-kemajuan yang dicatat, termasuk pembangunan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mapan oleh Lembaga Taksonomi ASEAN (ATB), yang mana ACMF adalah salah satu daripada empat badan sektor komponennya, mempromosikan kewangan mampan, pengesahan Skim Pelaburan Kolektif Repositori Digital ASEAN (ASEAN CIS) untuk mempromosi tawaran dan skim pelaburan kolektif dalam ASEAN, kemajuan Program Pembangunan Pasaran ACMF (A-MDP) dan menyokong penciptaan lebih banyak program perkongsian pengalaman dan pengetahuan dalam kalangan ahli demi memenuhi keperluan ahli ACMF dan memastikan semua ahli mendapat manfaat daripada program ini.

    Untuk menggalakkan kemapanan di seluruh ASEAN dan menambah suara ASEAN dalam penetapan piawaian antarabangsa, ACMF bekerjasama dengan Lembaga Piawaian Kemampanan Antarabangsa (ISSB) untuk membincangkan dan menyampaikan perspektif ASEAN mengenai draf piawaian ISSB, dengan memfokuskan pada bidang kebolehoperasian.

    Mesyuarat juga mengiktiraf usaha-usaha yang dilaksanakan oleh ACMF untuk meningkatkan dan mempromosikan tadbir urus korporat di rantau ini, menggalakkan mobiliti profesional dalam pasaran dan mengambil maklum mengenai perkembangan dalam aset digital di ASEAN melalui kemas kini dan perkongsian pengalaman ahli.

    Di samping itu, Majlis Penganugerahan Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN (ACGS] dijangka diadakan secara maya pada Disember ini.

    Mesyuarat berakhir dengan penyerahan jawatan pengerusi ACMF daripada Pengerusi ACMF 2022, Badan Pengawal Selia Sekuriti dan Bursa Kemboja, kepada Otoritas Jasa Keuangan (OJK), Indonesia untuk 2023, dengan Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Laos (LSCO) sebagai Naib Pengerusi.

    Ketua delegasi bergambar ramai semasa Mesyuarat Pengerusi ACMF ke-37 yang berlangsung di Hotel Sofitel Phnom Penh Phokeethra, Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini. – Gambar dari laman ACMF
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...