Entah dari mana tercetus spekulasi, hubungan antara penyanyi Bella Astillah dengan ahli politik, Syed Saddiq didakwa warganet kini diganggu seorang wanita yang rapat dengan mereka.
Bahkan, perkara tersebut rancak diperkatakan di laman Threads kononnya ibu kepada ahli Parlimen Muar itu lebih menyukai individu berkenaan yang juga kakitangan jenama diwakili pasangan terbabit.
Lebih menghangatkan andaian adalah apabila ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dikatakan kerap memuat naik foto bersama wanita dikenali sebagai Ami Ilana itu berbanding Bella atau nama lengkapnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 31.
Menerusi semakan di Threads, warganet juga mendapati Sharifah Mahani tidak pernah memuat naik hantaran foto bersama Bella menyebabkan timbul tanda tanya berkenaan hubungan mesra yang diperlihatkan di media sosial.
Susulan itu, tercetus pula spekulasi lain iaitu dakwaan ibu tunggal anak dua terbabit bukan calon pilihan, sehingga mengundang simpati ramai.

Daripada carian di laman sosial menunjukkan Bella, Syed Saddiq dan wanita berkenaan berkawan rapat apabila sering menghabiskan masa bersama-sama termasuk bercuti di luar negara.
Menurut laporan Kosmo, terdapat segelintir pemerhati lain juga meluahkan kebimbangan sekiranya penyanyi itu nanti bakal dikecewakan sekali lagi andai khabar angin tersebut benar.
Susulan itu, ruangan komen dalam Instagram individu yang dikatakan sebagai pengacau itu dibanjiri pelbagai maklum balas warganet.
Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq dikatakan semakin intim selepas mereka serasi bergandingan mewakili beberapa jenama namun masing-masing hanya mengakui tidak lebih daripada kawan.
Membuatkan hati peminat semakin berbunga-bunga apabila bersama keluarga masing-masing, Bella turut menemani lelaki terbabit ke Kejohanan Dunia Ironman 2025 di Perancis yang berlangsung pada 14 September lalu. – Agensi

