Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ada peluang untuk kemajuan di Timur Tengah – Trump

    ISTANBUL, 29 SEPT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin berkata terdapat “peluang sebenar untuk kemajuan di Timur Tengah,” lapor Anadolu Ajansi.

    “Semua pihak bersama untuk sesuatu yang istimewa, buat pertama kali,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social. “Kami akan melaksanakannya,” tambah beliau.

    Kenyataan itu dibuat susulan mesyuarat pelbagai hala pada Selasa dengan beberapa pemimpin negara majoriti Islam di luar sidang Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

    Mesyuarat bersama pemimpin Turkiye, Qatar, Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan itu memberi tumpuan utama kepada konflik Gaza serta usaha damai.

    Trump membentangkan pelan 21 perkara yang bertujuan menamatkan perang Gaza, memastikan pembebasan tawanan serta memulihkan wilayah berkenaan di bawah pentadbiran tanpa Hamas.

    Presiden AS itu juga berkata beliau tidak akan benarkan Israel mengilhakkan Tebing Barat.

    Trump dijadualkan bertemu secara berasingan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin bagi membincangkan cadangan berkenaan.

    Tentera Israel telah membunuh lebih 66,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza sejak Oktober 2023. Pengeboman berterusan telah menjadikan wilayah itu tidak lagi boleh didiami serta mengakibatkan kebuluran dan penularan penyakit. – Bernama/Anadolu 

     

    Presiden Donald Trump berucap pada sesi ke-80 UNGA pada 23 September lalu di ibu pejabat PBB. Trump nyatakan ada peluang untuk Timur Tengah. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda