Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ada sebab tak balik rumah selama 9 bulan – Linda Hashim

    Pelakon Linda Hashim akhirnya mendedahkan punca sebenar dirinya tidak pulang ke rumah selama sembilan bulan seperti didakwa suaminya yang juga aktor Beego.

    Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, berkata keputusan itu dibuat kerana dikatakan bimbang dikasari selain anak-anak turut mengalami trauma akibat insiden tersebut.

    Menurut laporan mStar, Linda berkongsi empat sebab tidak balik ke rumah selama sembilan bulan.

    “Pertama, saya kena pukul sejak 2016, dan yang kedua, anak-anak saya enggan pulang kerana mereka trauma”.

    “Ketiga, kunci rumah ada pada dia dan keempat apabila saya balik rumah, dia akan mangga pintu dari luar. Saya ada saksi yang tolong memotong kunci mangga. Selama ini saya diam, sekarang saya beritahu perkara sebenar,” katanya kepada mStar.

    Linda berkongsi perkara itu selepas selesai mendengar keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Selasa.

    Dakwa Linda, dia juga mempunyai laporan polis serta surat perintah larangan mengganggu atau mendekati (OACC) yang menghalang Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, daripada mendekatinya.

    “Saya ada laporan polis dan perubatan. Walaupun begitu, atas dasar perikemanusiaan, saya masih benarkan dia berjumpa anak-anak,” katanya lagi.

    Dalam masa sama, Linda mendakwa memberi amaran kepada Beego agar tidak lagi melakukan provokasi terhadap dirinya dan anak-anak.

    “Jangan ganggu kehidupan kami yang kini lebih tenang, dan jangan sebar fitnah dan manipulasi”.

    “Jangan tambah-tambah cerita dan membuat provokasi sebab saya langsung tak ganggu hidup dia. Baru saya muat naik mengenai anak-anak, dia sudah kata saya nak provoke,” ujarnya.

    “Belum lagi saya dedahkan bukti-bukti yang banyak dalam telefon saya. Ini amaran saya!” katanya.

    Tambah Linda, sejak mereka tidak lagi tinggal sebumbung, dia tidak pernah sekali pun mengganggu kehidupan Beego.

    “Kalau dia nak bekerja atau buat siaran langsung, silakan. Saya tak pernah kacau hidup dia”.

    “Tapi dia pula yang ganggu saya sampai menjejaskan mental saya dan anak-anak. Jadi, untuk apa saya teruskan perkahwinan ini?” luahnya. – Agensi

    Linda berkongsi sebab mengapa tidak mahu pulang ke rumah. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda