Adab dalam bulan Ramadan mengikut sunah Rasulullah SAW

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Antara amalan yang boleh menggandakan pahala di sepanjang bulan suci Ramadan ialah melalui membaca Al-Quran.

Membaca Al-Quran merupakan amalan yang mempunyai nilai-nilai yang sangat tinggi selain itu ia juga pahala dan keberkatan yang besar bagi yang membacanya di mana setiap sebutan hurufnya boleh memperoleh banyak pahala.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Penolong Pensyarah Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dayang Norapizah binti Haji Zalani (gambar bawah) dalam tazkirah bertajuk ‘Adab dalam Bulan Ramadan’ bagi Program Ramadan Mubarak bersama KUPU SB, kelmarin.

Menerusi tazkirah dalam talian itu, Dayang Norapizah juga menekankan untuk sentiasa beristighfar dan membasahi lidah dengan zikir serta mengingat Allah SWT di samping mengharap keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan sama ada dosa-dosa kecil
mahupun besar, yang disedari mahupun tidak.

Selain itu umat Islam juga disarankan untuk sentiasa berbuat kebaikan di bulan Ramadan dan melakukan amal soleh dan sentiasa berdoa memohon keampunan kepadaNya.

Beliau juga menjelaskan, apa pun perubahan yang perlu, cuba lakukan untuk memperbaiki diri sendiri dengan menjaga mata, telinga, lidah dan segala anggota tubuh badan mestilah kerana Allah.

“Dengan itu marilah kita sama-sama menjaga adab-adab kita di bulan Ramadan dan menyambut bulan Ramadan ini dengan penuh senyuman dan sentiasa berdoa dan beristighfar mengingat Allah SWT,” ujar beliau.