Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adab dan sunnah pulang ke tanah air bagi jemaah haji dan umrah

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Peluang untuk menjadi tetamu Allah Subhanahu wa Ta‘ala merupakan impian setiap muslim. Hakikatnya, tidak semua golongan bernasib baik dikurniakan kemampuan dan kesempatan untuk memenuhi impian ini. Ini kerana tuntutan dan persediaan bagi mengerjakan ibadah haji dan umrah bukannya mudah dan sedikit. Ia bukan sahaja menuntut pengorbanan yang besar dari segi material dan kewangan, tetapi juga memerlukan kekuatan fizikal, mental, emosi dan rohani yang lebih berat jika dibandingkan secara umumnya dengan ibadah-ibadah yang lain.

    Sepanjang mengerjakan ibadah haji dan umrah, jemaah haji dan umrah pastinya akan sedaya upaya memanfaatkan peluang berada di Tanah Suci dengan menggandakan amal ibadah dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Pokoknya, sepanjang berada di Tanah Suci, setiap peluang meraih ganjaran dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak akan dilepaskan. Sikap seperti ini, tidak sepatutnya hanya ditanamkan sewaktu berada di Tanah Suci sahaja bahkan hendaklah diteruskan walaupun sesudah pulang ke tanah air. Salah satu peluang meraih ganjaran dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tidak patut dilepaskan bagi jemaah haji dan umrah ialah mengamalkan adab dan sunnah ketika pulang dari Tanah Suci.

    Dalam kitab-kitab ulama mazhab asy-Syafi‘i, jemaah yang pulang ke tanah air setelah menunaikan ibadah haji atau umrah disunatkan untuk memelihara beberapa adab dan melakukan beberapa amalan sunat. Antaranya:

    (1) Bagi yang berkemampuan, sunat membawa buah tangan atau hadiah untuk ahli keluarga dan kaum kerabat.

    Antara hikmah disunatkan memberi hadiah atau buah tangan ini ialah walaupun mungkin harganya tidak seberapa, ia mampu menggembirakan dan mengeratkan lagi kasih sayang dan kemesraan kerana hadiah atau buah tangan tersebut menunjukkan ingatan, mahabbah dan kasih sayang terhadap orang yang diberi hadiah atau buah tangan tersebut.

    Gambar AFP

    (2) Memaklumkan tentang jadual atau waktu ketibaan kepada ahli keluarga serta mereka yang berkenaan sekiranya mereka yang berada di tanah air itu belum mengetahuinya.

    Begitu juga sekiranya terdapat apa-apa perubahan dalam jadual penerbangan dan sebagainya, maka hendaklah dimaklumkan juga kepada mereka.

    Ini merupakan satu perkara yang sangat mudah dilakukan pada zaman ini kerana sistem perhubungan masa kini semakin canggih dengan adanya aplikasi-aplikasi sosial yang memudahkan perhubungan. Dengan memberikan update (kemas kini) seperti ini, pihak yang hendak menyambut kepulangan mereka tidak merasa gelisah dan tidak tertunggu-tunggu sekiranya terdapat penangguhan dan sebagainya. Ini juga membantu ahli keluarga khususnya untuk membuat dan mengatur persiapan yang sepatutnya dengan lebih rapi dan teratur.

    (3) Sesudah sampai ke tanah air, sebelum sampai ke rumah, sunat jemaah haji dan umrah itu singgah ke masjid yang paling hampir dengan rumahnya untuk mengerjakan sembahyang sunat Qudum dua rakaat.

    Ini berdasarkan beberapa riwayat hadits, antaranya sebuah hadits daripada Ka‘ab bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:

    Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak akan pulang daripada pelayaran Baginda kecuali pada waktu siang semasa waktu dhuha. Maka apabila Baginda pulang (daripada pelayaran Baginda), mula-mula sekali Baginda akan pergi ke masjid lalu mengerjakan sembahyang dua rakaat di sana. Kemudian Baginda akan duduk di dalamnya.

    (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda