Batuk dan selesema lazim berlaku pada waktu ini, namun bagaimana membezakan sama ada ia petanda sesuatu yang lebih serius seperti radang paru-paru (pneumonia)?
Mengenal pasti perbezaan antara batuk biasa dan jangkitan paru-paru yang berpotensi berbahaya boleh memainkan peranan penting dalam memastikan rawatan segera dan pemulihan yang lancar.
Bagi menjelaskan perkara ini, DPA menemu bual Perunding Pengamal Am (GP) dari Britain, Dr Claire Agathou, yang menerangkan dengan terperinci apa itu radang paru-paru, simptom utamanya, serta bila perlu mendapatkan nasihat perubatan.
APA ITU RADANG PARU-PARU?
“Radang paru-paru ialah jangkitan pada paru-paru yang menyebabkan keradangan pada kantung udara kecil dalam paru-paru yang dikenali sebagai alveoli dan kantung ini kemudiannya dipenuhi dengan cecair atau nanah,” jelas Dr Agathou.
“Keadaan ini menjadikan oksigen lebih sukar untuk masuk ke dalam aliran darah, lalu menyebabkan batuk, sesak nafas dan demam.


“Ia boleh menyerang satu atau kedua-dua belah paru-paru dan tahapnya berbeza-beza daripada ringan hingga mengancam nyawa.”
Menurut badan amal British, Asthma + Lung UK, sebanyak 518,525 kemasukan ke hospital akibat radang paru-paru direkodkan di England tahun lalu dan hampir 1/5 pesakit dimasukkan semula ke hospital dalam tempoh 30 hari.
“Radang paru-paru paling kerap disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae, namun virus dan dalam kes yang jarang berlaku, kulat juga boleh mencetuskannya.
“Kami kadang kala memanggil keadaan ini sebagai radang paru-paru atipikal,” kata Dr Agathou.
“Radang paru-paru boleh berlaku selepas jangkitan virus seperti selesema apabila sistem imun menjadi lemah atau apabila bakteria disedut masuk ke paru-paru.”
BAGAIMANA MENGETAHUI JIKA BATUK DISEBABKAN OLEH RADANG PARU-PARU DAN BUKAN JANGKITAN VIRUS ATAU ALAHAN?
“Biasanya, batuk akibat virus atau alahan cenderung kering.
“Kadang-kadang, jika ia berpunca daripada virus, ia turut disertai dengan sakit tekak atau hidung tersumbat dan lazimnya akan pulih dengan sendiri dalam seminggu atau dua,” jelasnya.
Namun, Dr Agathou menegaskan bahawa batuk akibat radang paru-paru biasanya bersifat produktif, iaitu mengeluarkan lendir atau kahak.
“Jika awda mengeluarkan kahak berwarna hijau, kuning atau perang karat, berasa demam kuat serta mengalami sesak nafas, itu adalah tanda-tanda yang mungkin menunjukkan awda menghidap radang paru-paru,” katanya.
“Secara umum, awda akan berasa lebih lemah dan tidak sihat berbanding jika hanya mengalami selesema biasa atau simptom seperti demam alahan.”
ADAKAH TERDAPAT SIMPTOM LAIN YANG PERLU DIAWASI?
“Satu lagi tanda penting ialah sakit dada atau rasa sakit apabila menarik nafas,” ujar Dr Agathou.
“Simptom lain yang biasa kami lihat, terutamanya dalam kalangan warga emas, ialah kekeliruan.
“Selain itu, apabila seseorang menghidap radang paru-paru, mereka mungkin kurang membuang air kecil dan mengalami dehidrasi, ini juga antara perkara yang perlu diperhatikan.”
SIAPAKAH YANG LEBIH BERISIKO?
“Sesiapa sahaja boleh mendapat radang paru-paru dan ramai orang dewasa yang sihat mampu pulih dengan baik melalui rawatan antibiotik,” kata Dr Agathou.
“Namun, kadar jangkitan lebih tinggi dalam kumpulan rentan seperti warga emas, individu dengan sistem imun yang lemah atau yang mempunyai masalah pernafasan.
“Adalah sangat penting agar anak damit, warga emas atau individu dengan penyakit kronik, sistem imun lemah atau masalah pernafasan yang menunjukkan simptom mendapatkan rawatan segera.”
BILA PERLU BERJUMPA DOKTOR?
“Jika awda mengalami batuk yang berlarutan selepas lima hingga tujuh hari, awda seharusnya berjumpa doktor,” nasihatnya.
“Tetapi tanpa mengira tempoh masa, jika batuk awda sangat teruk, berasa tidak sihat dan mula merasakan pernafasan awda tidak normal, awda perlu segera diperiksa oleh doktor.
“Jika benar terdapat radang paru-paru, kami mahu merawatnya seawal mungkin ketika masih di peringkat ringan, bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.”
BAGAIMANA RADANG PARU-PARU DIKENAL PASTI?
“Apabila awda berjumpa doktor, kami akan memeriksa paras oksigen, kadar pernafasan, suhu badan, denyutan nadi dan semua petunjuk lain bagi menilai tahap jangkitan,” jelas Dr Agathou.
“Kami juga akan mendengar dada awda untuk mengesan sebarang bunyi luar biasa dan jika kami sangat bimbang, kami akan mengatur imbasan X-ray.”
BAGAIMANA RADANG PARU-PARU DIRAWAT?
“Jika ia jenis radang paru-paru biasa, antibiotik dan cecair ialah rawatan utama,” katanya.
“Biasanya antibiotik diberi dalam bentuk oral selagi pesakit boleh menelannya, tidak muntah dan dalam keadaan stabil untuk dirawat di rumah.
“Namun, kes yang lebih serius memerlukan rawatan di hospital, sokongan oksigen dan cecair intravena.”
MENGAPA ORANG LEBIH MUDAH TERDEDAH KEPADA RADANG PARU-PARU PADA MUSIM SEJUK?
“Pada musim sejuk, sistem imun kita be-kerja lebih keras akibat tekanan tindak balas terhadap cuaca sejuk, selain peningkatan penyebaran jangkitan,” jelas Dr Agathou.
“Kita juga tahu bahawa selesema lebih kerap berlaku pada musim sejuk dan apabila seseorang dijangkiti selesema atau virus lain, sistem imun menjadi lemah. Sebab itulah risiko mendapat radang paru-paru meningkat.”
APAKAH CARA TERBAIK MENGELAK DARIPADA MENDAPAT RADANG PARU-PARU?
“Semuanya bergantung kepada sistem imun yang kuat,” katanya.
“Sebagai contoh, lakukan perkara yang membantu tubuh melawan jangkitan dengan lebih baik seperti berpakaian hangat dan mengambil multivitamin.
“Selain itu, jika awda layak untuk vaksin selesema atau COVID-19, awda wajar mempertimbangkan untuk mengambilnya.” – ANN/The Star

