(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Dalam mazhab Syafi‘i, bilangan raka‘at sembahyang sunat Tarawih itu ialah 20 raka‘at.
Bilangan 20 raka‘at ini juga disepakati oleh para ulama di kalangan mazhab Hanafi, merupakan pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki dan juga mazhab Hanbali.
Di sini dijelaskan beberapa pendapat ulama muktabar dalam mazhab Syafi‘i mengenai bilangan 20 raka‘at tersebut.
Menurut Imam Ibn Hajar Rahimahullah dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj:
Ertinya: Dan ia (sembahyang sunat Tarawih) mengikut pendapat kami selain penduduk Madinah ialah dua puluh raka‘at sebagaimana yang mereka praktikkannya pada zaman ‘Umar Radhiallahu ‘anhu.”
Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebutkan dalam kitab Raudah ath-Thalibin:
Ertinya: Tarawih itu 20 raka‘at dengan 10 salam.
Sementara Imam al-Malibari Rahimahullah menyatakan dalam kitab Fath al-Mu‘in:
Ertinya: Dan ia (sembahyang sunat Tarawih) ada 20 raka‘at dengan 10 salam pada setiap malam bulan Ramadhan.
Ini berdasarkan daripada riwayat as-Sa’ib bin Yazid Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:
Mereka (sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) pada zaman ‘Umar bin al-Khaththab mendirikan sembahyang sunat Tarawih dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 raka‘at. (Hadit riwayat al-Baihaqi)
Diriwayatkan daripada Yazid bin Ruman Rahimahullah, dia berkata yang maksudnya:
Orang ramai pada zaman ‘Umar bin al-Khaththab mendirikan sembahyang sunat Tarawih pada bulan Ramadhan sebanyak 23 raka‘at. (Hadits riwayat al-Baihaqi dan Malik)
Dua riwayat di atas digabungkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullah sebagai penjelasan bahawa bilangan raka‘at sembahyang sunat Tarawih yang dilakukan oleh para sahabat di zaman Saiyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu adalah sebanyak 20 raka‘at, sementara tambahan tiga raka‘at dalam riwayat yang kedua itu pula ialah sembahyang sunat Witir.
Keterangan riwayat-riwayat di atas menunjukkan para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah sepakat (ijma‘) bahawa bilangan raka‘at sembahyang sunat Tarawih yang dilakukan pada zaman Saiyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu adalah sebanyak 20 raka‘at. Ijma‘ sahabat menurut usul fiqh adalah “hujjah” iaitu dalil syar‘ie.
Sementara bilangan 8 raka‘at sembahyang sunat Tarawih yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:
Kami mengerjakan sembahyang sunat Tarawih bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di bulan Ramadhan sebanyak 8 raka‘at selepas itu mengerjakan sembahyang sunat Witir. (Hadits riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)
Hadits ini menunjukkan bahawa bilangan raka‘at sembahyang sunat Tarawih itu adalah 8 raka‘at.
Imam Ibn Hajar Rahimahullah menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang sunat Tarawih bersama para sahabat sebanyak 8 raka‘at, walau bagaimanapun Baginda menyempurnakan baki sembahyang sunat Tarawih sebanyak 20 raka‘at itu di rumah Baginda.
Begitu juga para sahabat menyempurnakan baki sembahyang sunat Tarawih sebanyak 20 raka‘at di rumah-rumah mereka.
Baginda tidak menyempurnakan sembahyang sunat Tarawih di masjid bersama mereka sebanyak 20 raka‘at itu kerana belas kasihan Baginda kepada mereka.
Mengerjakan sebahagian daripada 20 raka‘at sembahyang sunat Tarawih
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, bahawa bilangan sembahyang sunat Tarawih itu adalah 20 raka‘at. Persoalannya bagaimanakah pula sekiranya seseorang itu hanya mengerjakan sebahagian daripada 20 raka‘at sembahyang sunat Tarawih itu seperti 8 raka‘at?
Disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin mengenai perkara tersebut:
Ertinya: Barangsiapa mengerjakan sebahagian Tarawih, maka dia mendapat pahala Tarawih itu sebagaimana disebutkan dalam kitab at-Tuhfah. Ar-Rasyidi pula menambah, sekalipun orang itu bermaksud untuk memendekkannya.
Imam asy-Syarwani Rahimahullah menyebutkan dalam kitab Hawasyi asy-Syarwani wa al-‘Abbadi dalam mensyarah kata Imam Ibn Hajar:
Ertinya: (Katanya yakni Imam Ibn Hajar Rahimahullah: Dan begitu juga sesiapa yang mengerjakan sebahagian sembahyang sunat Tarawih) iaitu seperti memendekkan sembahyang sunat Tarawih menjadi 8 raka‘at maka mereka mendapat pahala sebahagian daripada pahala sembahyang sunat Tarawih, sekalipun pada permulaannya dia bermaksud untuk memendekkannya kepada 8 raka‘at sebagaimana kebiasaannya dilakukan oleh sebahagian tempat.”
Oleh itu, sekiranya seseorang itu hanya mengerjakan sebahagian daripada 20 raka‘at sembahyang sunat Tarawih seperti 8 raka‘at sahaja, maka dia tetap mendapat pahala sebahagian daripada pahala sembahyang sunat Tarawih itu.
Walau bagaimanapun, khususnya di bulan Ramadan ini kita dituntut untuk memperbanyakkan amal ibadat bagi mendapatkan rahmat dan keampunan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Oleh itu, rebutlah peluang yang ada, tingkatkanlah amal ibadat sebanyak yang mungkin seperti mengerjakan sembahyang sunat Tarawih sebanyak 20 raka‘at sebagaimana yang telah disepakati oleh ulama muktabar di samping mengerjakan amal-amal yang lain di bulan Ramadan ini.
Bagi mereka yang berupaya khasnya, ia adalah amat baik dilakukan dan mendapat kelebihan sunat.