Apabila awda memandang ke luar jendela, adakah awda dapat melihat pokok? Lebih baik lagi jika ia pokok yang besar. Dan sejauh manakah jarak antara rumah atau tempat kerja awda dengan taman, hutan atau kawasan hijau lain?
Mengapa perkara ini penting? Selain memberi manfaat kepada iklim, ia juga baik untuk kesihatan fizikal dan mental. Kehadiran alam semula jadi di sekitar kita bukan sahaja membantu paru-paru berfungsi dengan lebih baik, malah dapat mengurangkan tekanan dan terbukti memberi kesan positif terhadap kesejahteraan mental.
Inilah asas kepada konsep peraturan 3-30-300, yang diperkenalkan beberapa tahun lalu oleh ahli sains perhutanan dari Belanda, Cecil Konijnendijk, bagi tujuan perancangan bandar.
Prinsipnya ialah setiap orang sepatutnya dapat melihat sekurang-kurangnya tiga batang pokok dari rumah mereka, hidup dalam kawasan kejiranan yang mempunyai 30 peratus liputan kanopi pokok dan berada tidak lebih daripada 300 meter dari kawasan hijau berkualiti tinggi.
Kajian oleh Institut Kesihatan Global Barcelona mendapati bahawa mereka yang mematuhi sepenuhnya peraturan 3-30-300 menunjukkan tahap kesihatan mental yang lebih baik, penggunaan ubat yang berkurangan serta lawatan yang lebih sedikit kepada pakar psikologi.

Mereka yang tinggal berhampiran kawasan hijau juga melaporkan rasa sihat secara keseluruhan.
BAWA LEBIH BANYAK KEHIJAUAN DALAM HIDUP AWDA
Adakah persekitaran tempat tinggal awda tidak memenuhi peraturan 3-30-300?
Di Kesatuan Eropah, Suruhanjaya Eropah baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk menanam sekurang-kurangnya tiga bilion pokok tambahan menjelang tahun 2030.
Namun, walaupun tanpa menunggu inisiatif besar itu, terdapat cara mudah untuk menambah kehijauan dalam kehidupan seharian dan memperbaiki kesejahteraan mental awda.
1. Luangkan lebih masa di alam semula jadi
Sama ada dalam perjalanan ke tempat kerja, semasa berjalan kaki atau ketika mendaki, memberi tumpuan kepada keindahan alam sekitar terbukti boleh memperbaiki emosi.
Penyelidik dari Universiti Bangor di Wales mendapati bahawa menumpukan perhatian kepada kehijauan semasa berjalan memberi peningkatan ketara kepada mood serta meningkatkan emosi positif. Peserta kajian juga berasa lebih segar selepas berjalan, dengan pokok menjadi unsur yang paling memberi kesan positif.
2. Hijaukan kediaman awda
Tanaman dalam rumah atau di balkoni bukan sahaja memperbaiki kualiti udara dalaman, malah membawa suasana semula jadi ke dalam rumah. Malah gambar pemandangan alam juga boleh memberi kesan serupa.
Menurut ahli psikologi dari Berlin, Suse Schumacher, gambar hutan yang digantung di dinding mampu membangkitkan perasaan yang hampir sama seperti melawat hutan sebenar, terutamanya jika ia berkait dengan pengalaman peribadi seseorang di alam semula jadi. – ANN/The Star
