(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Islam memerintahkan kita untuk berbuat baik kepada anak yatim. Islam juga sangat mengambil berat tentang hal ehwal mereka.
Dari isu penjagaan mereka sehinggalah pada pengendalian harta mereka jika mereka mempunyai harta, semuanya sudah digariskan di dalam al-Qur’an al-Karim.
Firman Allah yang tafsirnya:
“Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin.” (Surah al-Baqarah: 83)
Dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman yang tafsirnya:
“Oleh itu, adapun anak yatim, maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.” (Surah ad-Dhuha: 9)

Begitu juga disebutkan bahawa antara orang yang mendustakan agama itu ialah orang yang menzalimi hak anak yatim dan tidak berlaku baik kepada mereka sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah yang tafsirnya:
“Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim.” (Surah al-Ma‘un: 2)
Ganjaran yang diberikan terhadap perlakuan baik kepada anak yatim amat besar di sisi Allah. Rasulullah telah mengkhabarkan tentang kedudukan mulia di syurga bagi orang yang menjaga anak yatim.
Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Penjaga anak yatim daripada kerabat atau bukan kerabatnya, saya dan penjaga itu adalah seperti dua jari ini di dalam syurga.” Malik (periwayat hadis) mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari hantu.” (Hadis riwayat Muslim)
Namun satu persoalan ditimbulkan apabila anak yatim tersebut diasuh oleh sebuah keluarga untuk dijadikan sebagai anak angkat, adakah masih lagi dia termasuk dalam tafsiran anak yatim? Dan jika dia diangkat oleh keluarga yang berkemampuan, adakah dia masih berhak menerima bantuan yang dikumpulkan khusus untuk anak-anak yatim?
Siapa dia anak yatim?
Al-‘Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi Rahimahullah mentakrifkan anak yatim sebagai anak kecil yang tiada mempunyai bapa.
Al-‘Allamah asy-Syaikh Ibrahim al-Baijuri Rahimahullah menyatakan bahawa maksud tidak mempunyai bapa itu ialah tiada mempunyai bapa yang diketahui menurut syarak dan beliau telah mengkategorikan anak zina, anak yang dinafikan nasabnya dengan li‘an atau half (sumpah) dan anak pungut dalam takrif anak yatim. Beliau berkata:
“Oleh yang demikian termasuk di dalam tafsiran anak yatim itu anak zina, anak pungut, anak yang dinafikan (nasabnya) disebabkan li‘an atau half (sumpah penafian nasab). Sekalipun mereka itu tidak dinamakan anak-anak yatim menurut ‘urf (adat kebiasaan) kerana anak zina hanya tidak mempunyai bapa yang sah menurut syarak, anak pungut pula boleh jadi bapanya muncul semula, anak yang dinafikan nasabnya melalui li’an atau half pula boleh jadi penafinya itu mendakwakan nasabnya anak yang dinafikannya itu. Akan tetapi berdasarkan qiyas, mereka itu diberikan daripada bahagian anak-anak yatim, sekiranya bapa bagi anak pungut itu muncul semula atau orang yang menafikan nasabnya itu mendakwa bahawa sabit nasabnya dengan anak itu, maka menurut pendapat yang mu‘tamad (dalam mazhab Syafi‘i) hendaklah dipulangkan kembali bahagian yang telah diberikan kepada mereka itu”.
Berdasarkan nash di atas jelaslah bahawa anak yatim itu ialah:
Kanak-kanak yang tiada mempunyai bapa, kanak-kanak daripada anak zina (anak luar nikah atau anak tidak sah taraf), anak pungut, kanak-kanak yang dinafikan dengan sebab li‘an antara suami isteri atau dengan sumpah untuk menafikan nasabnya.
Adakah berubah tafsiran anak yatim setelah diangkat?
Status anak yatim yang diangkat oleh satu keluarga menjadikan kehidupannya jauh berbeza umpamanya dari segi kewangan dan lain-lain kesenangan dari sebelumnya, dan dari keadaan tidak berbapa akhirnya mempunyai kedua ibu bapa angkat apalagi jika diiktiraf secara sah oleh pihak pemerintah.
Adakah ini mengubah status anak yatim itu setelah ada ibu dan bapa angkat?
Melihat kepada takrif anak yatim sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama, maka status anak yatim adalah tetap sama walaupun dia baru diangkat atau telah lama menjadi anak angkat bagi sebuah keluarga selama mana dia masih dalam lingkungan kategori takrif di atas.
Adakah anak yatim yang kaya atau diangkat oleh keluarga kaya boleh menerima bantuan khusus untuk anak yatim?
Pengambilan anak angkat sama ada di kalangan ahli keluarga sendiri atau orang lain bukanlah merupakan suatu perkara yang baru.
Kadang-kadang kehidupan anak yang diangkat menjadi lebih baik dengan kemampuan atau kemewahan keluarga yang mengangkatnya. Dalam hal ini, adakah dia berhak menerima bantuan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan, swasta atau individu yang khusus untuk anak-anak yatim?
Dalam hal ini hendaklah dilihat pula adakah kanak-kanak yang kaya yang termasuk dalam kategori anak yatim yang disebutkan di atas masih dianggap sebagai anak yatim?
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, salah seorang ulama besar dalam mazhab asy-Syafi‘i bahawa tafsiran anak yatim itu termasuklah juga anak yatim yang kaya.
Berdasarkan ini, takrif anak yatim itu merangkumi anak yatim yang kaya, sama ada dia kaya kerana memang dia kaya dari hartanya sendiri contohnya harta yang diwarisi daripada ibu bapanya atau kaya disebabkan harta keluarga angkatnya.
Dan mereka ini juga boleh menerima dana atau bantuan yang dikhususkan bagi pihak-pihak tertentu selama mana mereka ini berada dalam takrif ‘anak yatim’.
Walau bagaimanapun perlu diingat, status ‘anak yatim’ bukanlah syarat yang membolehkannya menerima bahagian zakat kecuali jika dia tergolong daripada asnaf zakat yang lapan yang telah ditentukan oleh syarak. Begitu juga dia tidak termasuk dalam golongan yang menerima wang fidyah dan bahagian daging korban wajib kecuali jika dia tergolong dalam golongan fakir dan miskin.
Orang Islam, terutama para penjaga anak yatim, dituntut untuk berbuat baik serta menjaga harta dan hak anak yatim sama ada dia kaya atau tidak. Status anak yatim tidak akan berubah walaupun kanak-kanak itu sudah dijadikan anak angkat dan hak-haknya sebagai anak yatim masih boleh diterimanya selama mana dia masih berada di bawah takrif anak yatim.