JIKA anda seorang bakal ibu yang sudah agak berumur (35 tahun atau lebih), anda mungkin bimbang usia anda akan menjejaskan kehamilan dan kelahiran. Istilah elderly primagravida yang tertulis dalam nota kehamilan anda mungkin tidak membuat anda rasa lebih baik.
Jika anda berusia 35 tahun atau lebih dan sedang hamil, anda mungkin mendapat ujian-ujian, janji temu antenatal dan intervensi tambahan, hanya kerana usia anda. Yakinlah bahawa ramai wanita yang memilih untuk melewatkan kehidupan berkeluarga juga mendapat kehamilan yang sihat.
Apakah kesan umur ke atas kehamilan?
Walaupun kebanyakan ibu-ibu yang lebih tua dapat hamil dan melahirkan dengan sihat, anda memang mempunyai risiko yang tinggi sedikit mengalami masalah kesihatan seperti diabetes dan tekanan darah tinggi. Masalah-masalah ini boleh menjejaskan kesihatan anda serta kehamilan dan pelahiran.
Keguguran dan kehamilan luar rahim malangnya lebih kerap berlaku pada wanita yang lebih tua, begitu juga komplikasi kehamilan seperti diabetes gestasi, plasenta praevia, praeklampsia dan pelahiran pramatang.
Apakah kelebihan dari segi fizikal menjadi ibu pada lewat usia?
Jika anda berusia lebih 35 tahun, anda mungkin mempunyai kelebihan dari segi fizikal berbanding wanita yang lebih muda. Kemungkinan besar anda mengamalkan diet yang lebih baik dan bersenam lebih kerap berbanding ketika anda berusia 20an. Anda juga kurang berkemungkinan merokok semasa hamil berbanding semasa muda.

Adakah usia lewat memberi kesan ke atas anak damit?
Ingatlah bahawa walaupun anda sudah berusia pertengahan 40an, anda masih berkemungkinan lebih besar mendapat anak damit yang sihat.
Walau bagaimanapun jika anda ibu yang sudah berusia, ada peluang lebih tinggi anak damit dilahirkan dengan kecacatan genetik. Ini termasuk sindrom Down atau masalah kromosom yang lebih jarang berlaku iaitu sindrom Edward atau sindrom Patau.
Risiko Sindrom Down mengikut usia ialah:
-Usia 20: satu dalam 1,500
-Usia 30: satu dalam 900
-Usia 40: satu dalam 100
Jika anda berjumpa doktor di hospital atau klinik swasta, anda akan ditawarkan ujian-ujian saringan bagi ketaknormalan kromosom. Usia anda akan dipertimbangkan dalam keputusan untuk menyaring risiko anak damit anda mempunyai masalah. Bergantung kepada keputusannya, ujian-ujian diagnostik seperti amniosentesis atau pensampelan vilus korionik mungkin dicadangkan. Anda tidak mesti melakukannya. Berbincanglah dengan doktor jika anda tidak pasti apa yang perlu dilakukan. Ujian-ujian ini mungkin tidak terdapat di hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan.
Terdapat risiko kecil anak damit meninggal dalam kandungan jika anda berusia lebih 40 tahun. Risiko ini paling tinggi pada sekitar minggu ke-41 kehamilan. Walau bagaimanapun, kadarnya masih rendah, iaitu 10 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran.
Peningkatan risiko ini tidak boleh diterangkan oleh komplikasi dalam kehamilan atau masalah kesihatan sedia ada sahaja. Jadi pakar kesihatan biasanya lebih tegas apabila menjaga ibu-ibu yang lebih berusia dalam minggu-minggu terakhir kehamilan.
Apakah kesan umur ke atas proses bersalin?
Anda lebih berkemungkinan memerlukan intervensi perubatan seperti cetusan, semasa melahirkan jika anda ibu yang sudah berumur. Doktor anda juga mungkin mencaangkan supaya kelahiran dicetuskan pada atau sejurus selepas tarikh dijangka bersalin.
Sesetengah komplikasi lebih berkemungkinan berlaku pada ibu-ibu yang sudah berumur, tetapi ini tidak bermaksud ia akan berlaku secara automatik.
Anak damir anda lebih berkemungkinan berada dalam kedudukan tidak selesa semasa lahir, terutamanya jika usia anda lebih 40 tahun dan ini pertama kali anda menjadi ibu. Ini mungkin satu sebab mengapa kadar pembedahan caesarean meningkat mengikut usia ibu.
Namun, kita masih belum faham sepenuhnya sebab-sebab mengapa kadar intervensi ini meningkat pada ibu-ibu yang berumur. Sesetengah doktor menganggap bahawa sebagai ibu yang sudah berusia, anda perlukan penjagaan yang lebih rapi, walaupun sebenarnya kehamilan anda berjalan dengan lancar.
Beberapa kajian yang dilakukan mendapati bahawa tekanan pada fetus (fetal distress) lebih tinggi di kalangan ibu-ibu yang berumur, terutamanya yang pertama kali menjadi ibu pada usia lebih 40 tahun. Ini juga mungkin menjadi sebab mengapa kadar caesarean lebih tinggi dalam kumpulan umur ini.
Juga terdapat bukti bahawa ibu yang berumur lebih cenderung mengalami sakit bersalin yang lebih panjang. Ini mungkin kerana otot-otot uterus tidak berfungsi dengan begitu baik apabila wanita meningkat umur.
Adakah lebih sukar menjadi ibu pada usia lewat?
Menjelang usia 30an anda mungkin sudah mempunyai rutin yang selesa dan perhubungan serta kerjaya yang lebih mantap. Tanggungjawab menjaga anak damit 24 jam sehari mungkin memberi kejutan kepada anda dan sukar bagi anda menyesuaikan diri. Memandangkan wanita berpendapatan lebih tinggi pada umur 35 dan 40 berbanding umur 25, anda mungkin mengalami kejatuhan dalam pendapatan jika anda bercadang untuk menjadi ibu yang tinggal di rumah. Tetapi jika anda kembali bekerja, anda lebih berkemungkinan memperoleh pendapatan lebih daripada ibu-ibu yang lebih muda, walaupun jika anda sekadar bekerja separuh masa.
Satu kajian mendapati, ibu lebih berusia jarang sekali duduk berhampiran dengan keluarga atau kawan-kawan yang mempunyai anak. Jika inilah yang berlaku, anda mungkin mengambil masa untuk menjalin jaringan kenalan yang boleh memberi sokongan di kawasan anda tinggal. – Agensi