Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 1 Feb – Isteri Ketua Staf Tentera Laut Jepun, Laksamana Yutaka Murakawa yang berada di negara ini bagi lawatan selama tiga hari, telah dibawa mengadakan lawatan muhibah ke Daerah Tutong, hari ini.
Noriko Murakawa telah diiringi oleh rombongan yang diketuai oleh isteri Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad iaitu Pengiran Datin Noralam binti Pengiran Haji Kahar.
Rombongan telah disambut oleh ahli-ahli Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong (BPPPDT), Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan dan Haji Saifulbahri bin Haji Umarali.
Lawatan berkenaan dimulakan dengan meninjau perusahaan menternak madu kelulut di Kampung Sungai Kelugos, Tutong. Rombongan turut diberikan taklimat ringkas mengenai spesies dan cara menternak kelulut. Selain berpeluang menuai dan merasa madu yang terdapat di kediaman pengusaha madu kelulut, Awang Mitasby bin Haji Mamit.
Selepas itu, rombongan seterusnya dibawa di Kampung Sengkarai bagi melihat hasil kraf tangan dan pembuatan coklat di Syarikat Lakaba Jaya, Hajah Sauyah binti Haji Mahmud.