Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adam Corrie imbas pengalaman ketika awal peluk Islam

    Pelakon Adam Corrie mengimbas kembali pengalamannya berdepan tekanan hebat daripada masyarakat ketika baru memeluk agama Islam pada Julai 2007 lalu.

    Menurut Adam Corrie Lee Abdullah, 57, apa yang dilaluinya ketika itu tidak jauh berbeza dengan situasi yang menimpa wanita yang dikatakan kekasih kepada pelakon Ben Amir iaitu Maiya.

    “Awal-awal saya masuk Islam dulu, beginilah tekanannya. Ramai lebih suka mengkritik dari membimbing. Padahal mualaf sedang bertatih, sedang mencari kekuatan.

    “Kalau benar sayang agama, kita sepatutnya memudahkan bukan menakutkan. Beri ruang, beri masa, beri contoh yang baik. Hidayah itu milik Allah, bukan milik manusia yang menilai,” katanya.

    Perkongsian itu dibuat oleh Adam menerusi hantaran di Threads, disertai potongan artikel berkaitan Maiya atau Liana Alara yang dilaporkan menerima kecaman warganet.

    Tambah Adam, selepas 18 tahun memeluk Islam dia kini berdepan dengan situasi berbeza apabila segelintir pihak mempersoalan panggilan mualaf kepadanya.

    Menurut Adam, mualaf hanyalah istilah yang digunakan untuk memudahkan orang lain faham namun dia tidak kisah dengan apa jua panggilan selagi mana ia membawa maksud baik.

    “Mualaf hanyalah istilah yang digunakan di nusantara bagi mereka yang kembali kepada fitrah. Makna dalam bahasa Arab adalah orang yang dijinakkan atau dilembutkan hatinya.

    “Saya tak kisah orang nak panggil saya apa mualaf, saudara baru, reverted, converted, saudara sama Islam atau muhajir. Selagi panggilan itu membawa maksud yang baik, saya terima dengan hati yang lapang,” luahnya.

    Jelasnya, gelaran itu tidak membawa makna sebaliknya perubahan yang dilakukan untuk menjadi muslim sejati adalah lebih utama.

    “Kerana yang lebih penting bukanlah gelaran itu, tetapi perjalanan hidup seseorang menuju kebaikan, dan sokongan yang ikhlas daripada orang sekeliling dalam proses itu.

    “Setiap langkah menuju Allah adalah penghijrahan, setiap perubahan ke arah iman adalah kemuliaan,” jelasnya. – Agensi

    Adam harap orang ramai berpeluang mualaf perbaiki diri. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda