Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adam Eiman elak guna populariti ayah

    Menjadi anak kepada penyanyi terkenal Datuk Hattan tidak memberi kelebihan kepada Adam Eiman untuk berada dalam industri seni tanah air.

    Jelas Adam atau nama sebenarnya Adam Eiman Mohd Shukri Sahabuddin, 22, dia menceburi bidang muzik tanpa pengetahuan bapanya berikutan enggan dikatakan menumpang populariti.

    Bagaimanapun, Adam meluahkan rasa syukur kerana bapanya sentiasa melindungi dan memberi tunjuk ajar tentang selok belok dunia seni.

    “Saya tak pernah beritahu dia yang saya nak masuk dalam industri muzik. Dia tahu sendiri bila saya dah keluarkan lagu bersama kawan. Tapi dia okay saja saya dalam industri ini.

    “Saya pun cuba elak untuk menggunakan populariti dia untuk masuk dalam dunia seni. Tapi sudah tentu ayah akan sentiasa ada untuk lindungi saya daripada perkara yang tidak baik dalam industri.

    Adam Eiman menceburi bidang muzik tanpa pengetahuan bapanya berikutan enggan dikatakan menumpang populariti. – Agensi

    “Dia pun sentiasa beri tunjuk ajar pada saya. Dalam pada masa yang sama, saya tak nak gunakan populariti ayah,” kata Adam kepada media.

    Anak tunggal Hattan dan Datin Arianie ini sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang perhubungan awam dan acara di sebuah Universiiti di ibu kota.

    Berbeza dengan Hattan, Adam lebih cenderung kepada muzik hip hop biarpun sudah didedahkan dengan lagu-lagu genre rock sejak kecil.

    Menerusi laporan mStar pada 17 Ogos tahun lalu, Adam berkata bapanya agak terkejut dengan pilihan muzik yang ingin dibawa, namun dia tetap memberi sokongan.

    Sebelum ini, Adam dan Hattan pernah berganding suara menerusi lagu Perlukan Aku yang dilancarkan pada 6 September tahun lalu.

    Dalam pada itu, Adam memberitahu dia mempunyai hasrat untuk bekerjasama dengan bapanya buat kali kedua namun menyedari dirinya masih perlu banyak belajar. Malah, Adam mengakui dia tidak pernah mendapat pujian berlebihan daripada bapanya kecuali lagu terbitannya berjudul Sakit dan Salahku nyanyian Yonnyboii.

    “Ada perbincangan nak bekerjasama dengan ayah lagi tapi bila nak bekerja dengan ayah ini lain sikit… sebab kami mempunyai pendapat yang berbeza.

    “Tapi kalau dengan kawan sendiri macam Yonnyboii, kami boleh saling tegur-menegur kalau ada salah. Kalau dengan ayah ini, macam takut sikit nak bercakap soal kerja.

    “Sebenarnya bukanlah susah nak kerja dengan ayah tapi ada banyak lagi yang saya perlu belajar. Sebab ayah ini seorang yang tegas dalam membuat sesuatu. “Saya tak pernah dapat pujian yang berlebihan daripada ayah. Cuma dia ada kata la lagu Salahku dan Sakit itu best. Memang dia tak beri pujian berlebihan,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda