Malang tidak berbau, pelakon Adam Lee mengalami kecederaan pada bahagian leher dan terpaksa menerima rawatan di sebuah pusat perubatan semalam.
Reda menerima ujian itu, Adam atau Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee, 30, berharap tahun depan akan lebih baik buat dirinya.
Malah, dia memegang pesan ibu yang memintanya terus kuat berdepan dugaan itu.
“Tulang leher patah pula. Tidak mengapa semoga tahun 2025 akan lebih baik dari tahun ini. Get well soon dear self.
“Ingat pesan ibu, saya kuat dan kena kuat. Alhamdulillah untuk semua ini,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Pelakon drama Budak Tebing itu juga turut berkongsi imbasan X-ray yang memaparkan keadaan tulang lehernya yang patah.
Menjelaskan punca terjadinya musibah berkenaan, Adam memberitahu ia berlaku semasa dia sedang melakukan latihan seni mempertahankan diri dan terjatuh pada bahagian leher.
Tambah aktor itu, selepas mendengar nasihat daripada isterinya iaitu aktres Sweet Qismina, dia membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan lanjut di klinik dan hospital.
“Pada Rabu lalu saya ada latihan seni bela diri dan salah jatuh terkena pada bahagian leher C3 yang patah.
“Atas nasihat isteri, saya pergi ke klinik dan seterusnya ke hospital untuk lakukan rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi mStar.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mendoakan agar pelakon itu segera pulih dan mampu menjalani kehidupan seperti biasa. “Lain kali hati-hati Adam, semoga cepat sembuh.
“Semoga cepat sembuh Adam, saya tahu awak kuat.
“Anak jantan memang macam ini, apa pun cepat sembuh dan kembali dengan lebih kuat ya,” tulis warganet. – Agensi