Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adani Group hilang projek lapangan terbang, tenaga di Kenya

    NEW DELHI, 22 NOV – Adani Group dari India telah kehilangan projek pembesaran lapangan terbang dan tenaga di Kenya selepas pengasas dan pengerusinya, Gautam Adani serta beberapa eksekutif lain didakwa di Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan rasuah dan penipuan.

    Presiden Kenya, William Ruto berkata keputusan untuk membatalkan perjanjian itu adalah berdasarkan ‘maklumat baharu yang diberikan oleh agensi penyiasatan kami dan negara rakan kongsi.’

    Bulan lepas, Adani Energy Solutions dan Kenya Electricity Transmission Company (Ketraco) telah menandatangani perjanjian untuk membina dan mengurus talian penghantaran kuasa elektrik di seluruh negara Afrika Timur dalam projek yang dianggarkan bernilai 95.68 bilion shilling Kenya (AS$736 juta).

    Adani Group yang berpangkalan di negeri Gujarat, India juga sedang dalam proses menandatangani kontrak untuk membina landasan kedua di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta (JKIA) di Nairobi dan memodenkan terminal penumpang sebagai pertukaran untuk syarikat India yang mengendalikan lapangan terbang itu selama 30 tahun.

    “Saya telah mengarahkan agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Tenaga dan Petroleum untuk membatalkan serta-merta proses perolehan yang sedang berjalan untuk transaksi perkongsian awam-swasta pembesaran JKIA serta kontrak perkongsian awam-swasta talian penghantaran Ketraco yang baru dimuktamadkan,” kata Ruto dalam ucapan keadaan negara. – Bernama

    William Ruto (tengah) ketika menyemak kawalan kehormatan selepas tiba untuk memberikan ucapan di bangunan Parlimen di Nairobi, Kenya pada 21 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda