Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adaptasi dari alam

    SALAH satu kriteria yang anda boleh nilai dalam satu-satu pembinaan itu adalah bagaimana ia beradaptasi dengan persekitaran sekelilingnya.

    Terletak di kawasan perbandaran Lillehammer, rumah yang dibina di kawasan hutan bersalji di Norway ini dinamakan Cabin Vindheim yang mempunyai reka bentuk dan komposisi dinamik dengan sebahagian binaan berasaskan kayu.

    Arkiteknya Norwegian Varde-haugen studio cuba menampilkan sepenuhnya keunikan rumah ini.

    “Cabin Vindheim ini diilhamkan daripada imej klasik kabin salji dengan hanya bumbung yang terdedah di atas salji.

    “Menerusi reka bentuk rumah yang mesra penghuni terutama musim salji, rumah ini menjadi sebahagian daripada landskap bersalji,” kata wakil dari Norwegian Vardehaugen studio

    Ternyata sangat luar biasa dan menarik apabila diketengahkan mengikut bentuk muka bumi di kawasan sekitarnya.

    Bumbung yang curam dan membentuk tiga segi itu diliputi salji tebal sepenuhnya ketika musim sejuk.

    Ketika salji tebal juga, rumah itu bagaikan hilang, cuma yang kelihatan hanyalah satu kawasan penuh dengan timbunan salji.

    Biarpun sekadar berkeluasan 65 meter persegi, rumah itu tetap tampil luas dan selesa dengan binaan siling pelbagai peringkat.

    Sama dengan rumah biasa, Cabin Vindheim juga mempunyai ruang tamu, bilik tidur, dapur dan ruang penyimpanan kecil menyimpan peralatan bermain ski dan sukan lain.

    Tingkap kaca yang luas dan selesa turut dibina di bilik tidur selain pencahayaan menarik ketika malam.

    Tidak hanya di bilik tidur, malah tingkap kaca pada bahagian lain turut dibina pada kedudukan strategik.

    Ditambah dengan pengaliran udara dan pencahayaan sempurna sama ada semula jadi atau sebaliknya, rumah ini begitu memberikan keselesaan buat penghuninya.

    Jika dilihat dari luar, rumah ini dilitupi salji ketika musim sejuk, berada di dalamnya pula bagaikan rumah biasa lengkap dan menyeronokkan. – HM/Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda