Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adaptasi perubahan industri revolusi 4.0

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Para graduan dan belia perlu dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya mengendalikan tempat kerja masa depan, lebih-lebih lagi dunia kini memasuki industri revolusi keempat (IR4.0) di mana Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) sedang merubah persekitaran kerja masa depan.

    “Lebih penting lagi, kita memerlukan sistem pendidikan yang transformatif yang dapat bertindak dan mengadaptasi secara cepat kepada perubahan ini. Kita sebagai pendidik perlu menerima perubahan ini kerana kita memegang kunci untuk menjadikan kesemua transformasi ini dan merubah realiti.”

    Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh yang juga selaku pengerusi Lembaga Pengarah Politeknik Brunei berkata demikian dalam ucapannya selaku tetamu kehormat di Majlis Perasmian Simposium Antarabangsa Pengajaran & Pembelajaran Inovatif Politeknik Brunei edisi ke-4 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Menurut Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah lagi, tema simposium tahun ini iaitu ‘Mendigitalisasikan Pendidikan untuk Abad ke-21’ adalah sangat sesuai, di mana kandungan baharu perlu ditambah dengan penekanan kepada kemahiran tertentu, terutamanya yang berkaitan domain kognitif model Bloom seperti aplikasi, penilaian analisis dan penciptaan.

    “Apa yang kita tahu ialah permintaan industri abad ke-21 telah membuat kurikulum tradisional dan pembelajaran linear dan relevan. Kurikulum pendidikan kita perlu dapat memberi respons dengan cepat bagi membolehkan pelajar untuk mempunyai literasi digital dan data yang mencukupi serta mempunyai kebolehan untuk memahami dan mengadaptasi dunia baharu,” tekannya lagi.

    Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah ketika menyampaikan ucapannya semasa simposium berkenaan.

    “Menawarkan program-program yang relevan, didorong permintaan dan memenuhi keperluan majikan, saya memuji Politeknik dalam mengejar perkongsian dan kerjasama antara industri dan institusi mantap yang utama dalam mengenal pasti jurang kecekapan dan menyediakan kurikulum latihan strategik untuk menyesuaikan kepada persekitaran pekerjaan yang dinamik,” kongsinya.

    Beliau juga berpendapat bahawa memandangkan pentingnya untuk mengikuti perkembangan industri dan pasaran kerja, adalah sama pentingnya kita juga mengetahui yang terkini (up-to-date) dengan kajian dan trend pendidikan dalam misi ke arah pendidikan yang berkualiti.

    Simposium sedemikian, jelasnya lagi, menyediakan platform yang sesuai untuk perkongsian maklumat dan kerja penyelidikan di dalam dan di luar rantau ini, seperti sumber teknologi pendidikan terkini untuk pengajaran dan pembelajaran dan latihan yang diperlukan bagi melaksanakan dan menggunakan inovasi berkenaan untuk memaksimumkan manfaat.

    “Dengan jangkaan beratus-ratus juta pekerjaan yang akan digantikan oleh AI dalam dekad yang akan datang, modal manusia menjadi aset penting yang semakin meningkat di mana-mana negara dan para pelajar dan belia kita adalah aset yang kita perlukan untuk memastikan kemapanan ekonomi kita dan pembangunan negara kita,” katanya.

    “Ini juga ditekankan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan di Majlis Konvokesyen ke-31 Universiti Brunei Darussalam pada 22 Ogos 2019, di mana baginda menekankan kepentingan teknologi dalam era IR 4.0 bagi menjana kemahiran yang penting untuk ekonomi yang berdaya saing.”

    Beliau mengakhiri ucapannya dengan berharap agar Politeknik Brunei akan mempelajari sebanyak yang mungkin daripada simposium ini mengenai cara pengajaran dan pembelajaran inovatif yang terkini terutamanya dalam penggunaan teknologi seperti realiti maya dan AI.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda