Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adat Brunei tidak pernah dilupa walau hidup di luar negara

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Walaupun sudah lama menetap di luar negara, adat dan warisan Brunei tidak pernah dilupakan, terutama dalam mengekalkan adat dalam majlis perkahwinan orang-orang Melayu Brunei antaranya Majlis Malam Berbedak.

    “Ini kerana ia merupakan salah satu warisan budaya dan sekali gus memperlihatkan keunikan serta keindahan bagi sesebuah negara,” jelas Dayang Durratul ‘Ain binti Mahmud Morshidi, kakak kepada seorang pengantin yang keluarganya berasal dari Brunei dan telah menetap di Malaysia sejak lebih 20 tahun lalu.

    Katanya, mengekalkan tradisi yang dilakukan oleh keluarga ayahnya menunjukkan bahawa mereka masih meneruskan adat perkahwinan orang Brunei, walaupun tinggal jauh dari sanak saudara di Brunei.

    “Faktor geografi dan sosiologi memberi kekangan kepada kami untuk bersama keluarga di Brunei dan mengikuti adat budaya Brunei dalam kehidupan kami seharian,” oleh itu mereka memilih untuk menerapkan adat dan budaya itu dalam majlis-majlis penting dalam kehidupan, jelasnya.

    “Walaupun kita Melayu serumpun namun adat dan budaya berbeza antara Melayu Malaysia dan Melayu Brunei, dan untuk mengekalkan identiti keluarga serta adat resam nenek moyang, kami sepakat untuk meraikan adat Brunei sekurang kurangnya pada majlis berbedak sempena perkahwinan.

    “Kami sangat berbangga dan bertuah memiliki seorang ayah yang mahukan anaknya merasai adat yang dilakukan pada majlis berbedak dan dengan cara ini juga, kami dapat merasakan jati diri sebagai anak Brunei itu tersemat di dada.”

    Secara tidak langsung, jelasnya, ia memberi suatu pesanan kepada mereka untuk menjaga sahsiah diri dan peribadi selari dengan tingginya keperibadian masyarakat Brunei.

    Di samping mengekalkan adat budaya keluarga ayah, tambahnya, mereka juga berbangga dapat memperkenalkan budaya Brunei yang penuh dengan nilai estetika dan santunan dalam setiap acara kepada masyarakat Malaysia.

    “Ini bukan sahaja dari segi pakaian yang kami cuba ketengahkan, malah kami juga cuba untuk memberi pendedahan dan menyebarkan ilmu di sebalik adat berpengangun Brunei yang kami amalkan,” jelasnya.

    Pasangan pengantin menerapkan adat majlis berbedak dalam majlis perkahwinan mereka di Malaysia. – GAMBAR SERAHAN HAJAH AJIJAH HAJI MOMIN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda