Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
Majlis perkahwinan adalah salah satu cara terbaik untuk memperlihatkan budaya sesuatu masyarakat yang ada di negara ini.
Seperti adat-adat masyarakat lain, masyarakat puak Dusun Brunei turut mempunyai keunikan tersendiri dalam mengadakan majlis perkahwinan.
‘Biar mati anak jangan mati adat’ demikianlah pepatah Melayu yang melambangkan betapa teguh dan penting sesuatu adat itu agar ia dapat dipertahankan bagi generasi yang akan datang.
Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Ia mencerminkan segala perbuatan yang ada kalanya dilakukan setiap hari ataupun bermusim, sama ada berpandukan bulan atau tahun.
Dalam perkahwinan masyarakat Dusun di Brunei, adat-adat yang diadakan lazimnya dilakukan secara tersusun dan teratur iaitu bermula dari adat Bedudun atau Berjarum-jarum atau merisik kemudian majlis pertunangan, majlis adat Basuh Kaki dan adat Mulih Tiga atau Tujuh Hari.

Adat Bedudun atau Berjarum-jarum atau merisik
Adat merisik adalah lawatan berkali-kali yang dilakukan oleh keluarga pihak bakal pengantin lelaki. Tujuannya adalah untuk mengenali bakal pengantin perempuan dan juga keluarganya. Pada kebiasaanya pihak lelaki akan membuat lamaran semasa Berjarum-jarum tetapi pihak perempuan selalunya mengambil masa beberapa hari untuk memberi jawapan.
Setelah mengetahui jawapan, pihak pengantin lelaki akan pergi sekali lagi ke rumah pengantin perempuan dan kemudiannya rombongan akan datang untuk bertanyakan tentang ‘tanda pertunangan’.
Pertunangan
Pertunangan merupakan simbol ikatan perhubungan antara lelaki dan perempuan yang akan menjadi suami isteri. Bagi masyarakat Dusun Brunei, antara persediaan yang perlu dibuat oleh pihak lelaki ialah Pembuka Mulut bagi menandakan permulaan pertunangan, dan mas kahwin atau berian dalam bentuk wang, kerbau dan barangan sebagai tanda penghargaan kepada perempuan yang ingin dikahwini.
Seandainya berlaku Langkah Dulang atau Langkah Sungai, lelaki tersebut dikehendaki untuk membuat bayaran yang ditetapkan oleh keluarga pihak perempuan.
Langkah Dulang berlaku seandainya perempuan yang hendak dikahwini itu mempunyai kakak yang belum berkahwin lagi sementara Langkah Sungai ialah seandainya lelaki itu bukan dari kampung yang sama dengan pengantin perempuan tersebut.
Pada kebiasaannya pihak perempuan akan meminta kepada pihak keluarga lelaki duit pembuka mulut, tanda tunang berserta sebentuk cincin, Langkah Dulang atau Langkah Sungai, berian, permintaan dari ibu perempuan berupa ‘sepengadak’ kain persalinan, permin-taan dari ibu saudara sebelah perempuan satu ke tiga, belanja hangus atau dapur atau berian tertakluk kepada keluarga dan sepasang cincin kahwin untuk kedua-dua bakal pengantin.
Perkahwinan
Sebelum mengadakan majlis perkahwinan, segala permintaan dari pihak perempuan mestilah diserahkan sebelum mereka melangsungkan majlis persandingan, kecuali belanja hangus atau berian.
Setelah tiba hari yang dinanti-nantikan, pihak lelaki akan mengumpul dan mengajak kaum keluarga dan sanak saudara untuk sama-sama turut serta dalam rombongan untuk menghantar pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan.
Sebelum ini masyarakt Dusun Brunei menggunakan apa yang dipanggil sebagai ‘semayoh’, iaitu alat yang dibuat daripada bamban atau rotan. Setiap hari semayoh hendaklah dipotong untuk mengingati akan hari perkahwinan itu nanti.
Seorang lelaki dewasa yang dipanggil pengapit akan membawa bujak, manakala seorang perempuan akan menyikut ‘tekiding’ yang bertutup gangsa yang berisi tiga baju dan empat seluar serta kain.
Apabila tibanya pengantin lelaki di kediaman pengantin perempuan, dia akan ditemani oleh seorang lelaki tua yang berperanan sebagai penjaganya. Orang tua tersebut kebiasaannya seorang yang dihormati dan mempunyai ilmu kebatinan yang teguh bagi melindungi pengantin lelaki dari ancaman sihir dan sebagainya.
Ketika rombongan pengantin lelaki sudah hampir tiba, salah seorang wakil pengantin lelaki akan mengetuk pintu dan bertanyakan kepada ayah pengantin perempuan bahawa pengantin lelaki telah tiba dan adakah kehadiran mereka dialu-alukan atau sebaliknya.
Jika sudah dipersetujui, pengantin lelaki akan dipayungi dan dia akan disuruh berjalan dalam pusingan kecil sebanyak tiga kali yang dikenali sebagai Pusing Naga. Semasa ketibaan rombongan pengantin lelaki, pihak pengantin perempuan sudah mula memukul gong dan gulintangan yang berirama Raja Lalu dan seterusnya irama Ancayau dan irama gendang yang lainnya.
Setelah masuk ke rumah, barulah diadakan adat menyerahkan berian. Kemudian wakil pengantin lelaki akan menyerahkan barang yang disikut kepada wakil pengantin perempuan bersama belanja hangus.
Setelah selesai acara menyerahkan berian, mereka pun disandingkan. Bersanding adalah tradisi di mana kedua-dua pengantin akan duduk bersebelahan di atas Tawak.
Antara alat-alat yang dipakai semasa persandingan ialah pengantin memakai baju yang berwarna hitam, duduk di atas gong yang diapit oleh sang pengapit dan kedua-dua pihak.
Adat Basuh Kaki
Basuh kaki atau dikenali sebagai ‘Nyagu atis’ bagi puak Dusun, ialah adat resam di mana kaki pengantin akan disiram dengan air. Acara ini lakukan dengan menggunakan air, parang dan batu pengasah.
Kedua-dua pengantin akan membuka kasut di kaki kanan dan dimulakan oleh pengantin perempuan dengan meletakkan kakinya di atas batu pengasah diikuti dengan pengantin lelaki meletakkan kakinya di atas kaki pengantin perempuan.
Keluarga pengantin lelaki akan memulakan adat menyiram kaki pengantin perempuan diikuti dengan pemberian wang atau barang kemas sebagai hadiah. Acara diteruskan dengan adat membasuh kaki, air yang disimpan di dalam ‘ipang’ dan gayung yang dibuat daripada kelapa.
Bagi kegunaan kecantikan pelamin, pelamin dihias dengan alat-alat seperti gulintangan, gong, canang, dumbak, badil atau meriam, dan dihiasi dengan kain tiga warna iaitu hitam, putih dan merah di atasnya (Bumbung, dilengkapkan dengan kain tebajang).
Acara diakhiri dengan tembakan bedil sebanyak tiga, lima atau tujuh das diikuti para jemputan akan menikmati juadah yang disediakan.
Adat mulih 3 atau 7 hari
Adat mulih 3 atau 7 hari ialah tradisi di mana si pengantin lelaki akan pulang ke rumah asalnya dengan isterinya selepas tinggal selama 3 atau 7 hari di kediaman isterinya.
Kebiasaannya keluarga pihak perempuan akan memberikan hadiah seperti barang rumah dan barangan dapur kepada pengantin baru bagi menandakan penamatnya upacara perkahwinan orang Dusun Brunei.