Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Adau Gayoh papar keunikan budaya

    Oleh Nurdiyanah R.

    Dalam meniti masa yang berlalu begitu pantas, zaman yang terus dibawa arus kemodenan, pemerkasaan nilai-nilai tradisi dan budaya yang sudah sekian lama menjadi warisan identiti sesuatu etnik atau puak itu seharusnya digenggam erat bersama untuk dipelihara dan difahami dengan sebaik-baiknya.

    Di mana pun kita berpijak, jangan sesekali kita lupa asal usul kita, budaya kita, pegangan kita, begitulah harapan tulus yang diketengahkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Ukong dengan kerjasama Pakatan Sang Jati Dusun (PSJD) Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama menghidupkan nilai-nilai budaya dan tradisi puak jati Dusun khususnya kepada generasi penerus bangsa menerusi perlaksanaan Festival Adau Gayoh 2023, baru-baru ini.

    Festival yang diungkayahkan di Gelanggang Sukan, Kampung Ukong itu melibatkan lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada Kumpulan Kebudayaan MPK Ukong, Kumpulan Dukong Silai dan Kanak-kanak Kampung Batang Mitus, Kumpulan Kebudayaan Kampung Bukit Udal, Kumpulan Kebudayaan Kampung Kebia, Kumpulan Kebudayaan Kampung Bukit dan Kampung Long Mayan dan Kumpulan Kebudayaan Kampung Sungai Liang termasuk para pemain gulintangan.

    Lebih 30 jenis rentak pukulan

    Berkesempatan ditemui penulis bagi mengulas persembahan kebudayaan secara menyeluruh yang diketengahkan pada festival berkenaan, Awang Eyad Samhan bin Nyawa menjelaskan persembahan mentumpukan pada pukulan dan rentak gendang dengan diiringi tarian-tarian tradisi sebagai satu usaha menonjolkan warisan budaya khususnya puak Dusun kepada orang ramai untuk sama-sama menerokai sesuatu yang jarang sekali atau belum pernah dilihat selama ini.

    “Bagandang dalam kalangan suku kaum Sang Jati Dusun di Brunei telah diketahui sejumlah kira-kira 30 jenis rentak atau pukulan yang mempunyai fungsi yang tersendiri seperti bagi upacara adat, perubatan, perhubungan, emosi, ritual atau kepercayaan, hiburan dan lain-lain lagi,” jelasnya.

    Masyarakat Dusun mempersembahkan pakaian tradisi mereka semasa festival berkenaan.
    Antara persembahan daripada para peserta puak jati Dusun semasa festival berkenaan.
    Persembahan gulintangan memeriahkan lagi suasana festival berkenaan.
    Pengunjung menyaksikan petak jualan semasa festival berkenaan.

    Namun persembahan-persembahan yang diketengahkan semasa festival berkenaan, tambah Awang Eyad, lebih berbentuk hiburan dan emosi atau gaya kreatif sahaja yang mana semua persembahan pada umumnya memiliki keunikan ekspresi yang tersendiri dan nilai-nilai pengertian tertentu. Antara tarian tradisional yang menyemarakkan festival berkenaan ialah Ancayau, Tapi Butan, Kataduh Lait Lalau, Ebang Bataring dan sebagainya.

    Ujarnya, apa yang menarik apabila kita menyaksikan gabungan penglibatan dari pelbagai kampung itu pastinya ia sebagai salah satu usaha terbaik bagi sama-sama mengangkat identiti etnik berkenaan ke arah memperkayakan dan memperkasakan lagi identiti budaya bukan sahaja ke peringkat nasional, bahkan serantau dan global.

    Manakala Kumpulan Masyarakat Iban Brunei dari Kampung Benutan turut dijemput untuk sama-sama mempersembahkan keunikan tarian mereka di festival tersebut. Selain itu, persembahan berkisar permainan kecapi, silat dan kuntau turut menjadi tarikan salah satu pengisian acara tersebut.

    Hidangan Puun dalam Adat Panakod

    Sementara itu, salah satu nilai-nilai tradisi yang turut menjadi tarikan pada festival berkenaan ialah sebuah replika yang dikenali sebagai ‘Puun’ iaitu tempat menjamu tetamu khas dengan beberapa gangsa disusun bertingkat-tingkat.

    Lazimnya, pelbagai jenis masakan atau makanan tradisi etnik Dusun Brunei dihidangkan sebagai jamuan utama Adat Panakod seperti Tajii yang mengandungi beras baharu yang ditumbuk halus dan dibentuk bulat pipih serta dimasak bersama santan kelapa dan gula; dan Tebuu iaitu daun dianyam berbentuk ayam jantan dan betina yang diisi beras di dalamnya kemudian dimasak menjadi nasi.

    Mengimbas kembali semasa bersama Ketua Kampung Ukong, Awang Muhamad Hakimi bin Abdullah Gampar selaku pengerusi bersama festival berkenaan ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya, antaranya mengongsikan dengan adanya festival sedemikian ia bukan hanya bertujuan bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat puak Dusun yang bermastautin di Negara Brunei Darussalam terutamanya di kawasan-kawasan kampung, bahkan ia diharap mampu membuka minda dan jiwa generasi pada masa kini untuk lebih menghargai asal usul mereka di samping terus melakar nilai-nilai dinamik, progresif dan aktif seiring peredaran zaman yang semakin moden.

    Kemeriahan festival turut dihiasi dengan pameran sejarah penubuhan PSJD Negara Brunei Darussalam, kesenian dan kebudayaan serta produk jualan kraftangan dan makanan dan minuman serta hasil tanaman para pengusaha setempat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...