Friday, September 30, 2022
23.3 C
Brunei

ADB jangka pertumbuhan ekonomi Asia menurun

-

KUALA LUMPUR, 21 SEPT – Bank Pembangunan Asia (ADB) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi untuk ekonomi membangun Asia kepada 4.3 peratus tahun ini berbanding jangkaan 5.2 peratus yang dibuat pada April lepas.

Unjuran pertumbuhan ekonomi rantau itu bagi 2023 juga berkurangan kepada 4.9 peratus daripada anggaran sebelumnya iaitu peningkatan 5.3 peratus, kata bank itu dalam laporan Kemas Kini Prospek Pembangunan Asia 2022 yang dikeluarkan hari ini. 

Pengarah Bahagian Penyelidikan Makroekonomi ADB, Abdul Abiad berkata beberapa risiko penurunan besar telah memberi impak kepada unjuran itu seperti kemerosotan mendadak dalam pertumbuhan global, pengetatan dasar monetari yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam ekonomi maju, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang semakin memuncak, penyusutan luar jangkaan di China dan perkembangan pandemik yang agak negatif.

“Semua faktor ini boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi membangun Asia,” katanya semasa Webinar Impak Asia: Kemas Kini Prospek Pembangunan Asia 2022 hari ini.  Perbelanjaan dan pelaburan pengguna domestik memacu pertumbuhan ketika ekonomi di rantau ini terus melonggarkan sekatan pandemik, sebahagiannya disebabkan oleh pemacu vaksinasi dan angka kematian COVID-19 yang mula berkurangan. 

“Bagaimanapun, pencerobohan berterusan ke atas Ukraine telah meningkatkan ketidaktentuan global, gangguan bekalan yang semakin memburuk serta pasaran tenaga dan makanan yang belum stabil.

“Pengetatan monetari yang lebih agresif oleh Rizab Persekutuan AS dan Bank Pusat Eropah telah memberi kesan ke atas permintaan global dan pasaran kewangan,” katanya. 

Abdul berkata kerajaan di ekonomi-ekonomi membangun Asia perlu terus berwaspada terhadap risiko ini dan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi membendung inflasi tanpa menjejaskan pertumbuhan. – Bernama

Pelanggan membeli sayur dari gerai di sebuah pasar di Manila, kelmarin. Bank Pembangunan Asia mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2022 untuk negara membangun Asia kelmarin. – AFP
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China: Tiada siapa berhak guna veto nasib rakyat Palestin

BEIJING, 29 SEPT - China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi...
- Advertisment -