MANILA, 18 OGOS – Bank Pembangunan Asia (ADB) melantik Andrew Jeffries sebagai pengarah negara bagi Filipina, lapor Xinhua memetik pengumuman bank pembangunan itu, hari ini.
Jeffries akan mengetuai operasi ADB di Filipina, dengan portfolio aktif bernilai kira-kira AS$13 bilion mulai hari ini.
Beliau akan menyelia pelaksanaan Strategi Perkongsian Negara ADB 2024-2029 serta mengurus hubungan bank itu dengan kerajaan, sektor swasta dan rakan pembangunan.
“Ekonomi (Filipina) berada pada persimpangan kritikal, dengan pelaburan besar dalam infrastruktur dan perlindungan sosial sedang dilaksanakan dan mula menampakkan hasil,” kata Jeffries.
Namun, beliau berkata lebih banyak perlu dilakukan bagi memastikan tiada yang ketinggalan, serta risiko seperti berkaitan iklim dapat dikurangkan ketika negara berusaha mencapai status berpendapatan sederhana tinggi. – Bernama


