ISLAMABAD, 21 NOV – Pakistan akan menerima pinjaman berjumlah AS$330 juta bagi menaik taraf grid tenaganya, yang akan membantu menyalurkan tenaga hidro ke bandar-bandar utama, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB) kelmarin.
Negara dengan populasi 250 juta itu berdepan masalah gangguan elektrik kronik, kos tenaga yang meningkat serta hutang sektor tenaga yang terus melonjak mencecah 1.7 trilion rupee (AS$5.9 bilion), menurut data kerajaan.
“Pelaburan ini akan menangani kekangan lama di koridor tenaga utara-selatan Pakistan, membolehkan pemindahan sehingga 3,200 megawatt tenaga bersih daripada loji hidro di utara,” kata ADB dalam kenyataan selepas meluluskan pinjaman itu.
Grid tenaga Pakistan yang semakin usang dibelenggu pelbagai ketidakcekapan, termasuk kehilangan tenaga yang besar sepanjang transmisi dan isu kecurian elektrik yang meluas. Menurut ADB, pinjaman ini akan ‘mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import, meningkatkan keselamatan tenaga dan menyokong peralihan Pakistan kepada campuran tenaga yang lebih mampan dan mampu milik.’
“Projek ini mencerminkan kerjasama kukuh ADB dengan Pakistan serta komitmen bersama untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih,” kata Pengarah ADB Pakistan, Emma Fan.
Pada November 2023, ADB telah menyalurkan AS$250 juta kepada Pakistan bagi memperluaskan rangkaian transmisi voltan tinggi di wilayah Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa. Pada Ogos lalu, pemberi pinjaman itu turut meluluskan pakej AS$410 juta untuk membangunkan lombong tembaga dan emas Reko Diq di Pakistan. – AFP


