Wednesday, November 6, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ADB lulus pinjaman AS$500 juta untuk Pakistan

    NEW DELHI, 30 OKT – Bank Pembangunan Asia (ADB) telah meluluskan pinjaman AS$500 juta untuk menyokong perubahan iklim dan pe-ngurangan risiko bencana serta daya tahan di Pakistan susulan banjir besar pada 2022 yang menjejaskan kira-kira 33 juta orang.

    Dalam satu kenyataan kelmarin, ADB memaklumkan bahawa Pakistan adalah antara negara yang paling terdedah kepada perubahan iklim dan purata kerugiannya akibat bencana melebihi AS$2 bilion setahun.

    Menurut ADB, bank itu menerusi Climate and Disaster Resilience Enhancement Programme (CDREP) akan mengukuhkan kapasiti institusi Pakistan untuk perancangan, kesiapsiagaan dan tindak balas.

    “Program ini dibina atas usaha jangka panjang ADB di Pakistan untuk memahami dan mengurangkan risiko perubahan iklim dan bencana serta menyokong tindak balas bencana yang berkesan,” kata Ketua Pengarah ADB untuk Asia Tengah dan Barat, Yevgeniy Zhukov.

    “Kami berbangga untuk menyokong pendekatan bersepadu dan komprehensif terhadap pengurusan risiko iklim dan bencana, termasuk portfolio instrumen pembiayaan risiko bencana untuk pembiayaan yang tepat pada masanya dan mencukupi bagi tindak balas bencana,” tambah Zhukov.

    Hujan monsun yang luar biasa dan banjir dua tahun lalu menyebabkan kemusnahan di kawasan yang luas di Pakistan.

    Kerugian ekonomi dianggarkan kira-kira AS$15.2 bilion, seperti yang disebut dalam laporan kerosakan yang disediakan oleh kerajaan Pakistan dan agensi kewangan antarabangsa pada masa itu.

    Pakistan memerlukan sekurang-kurangnya AS$16.3 bilion untuk pemulihan dan pembinaan semula, menurut laporan itu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda