JAKARTA, 14 NOV – The Asian Development Bank (ADB) dan rakan kongsi utamanya di Indonesia memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bersama-sama merancang memberhentikan lebih awal operasi loji kuasa arang batu pertama yang dimiliki oleh pengeluar tenaga bebas Cirebon Electric Power (CEP).
ADB hari ini memeterai MoU dengan CEP, syarikat elektrik negara Indonesia PT Perusahaan Listrik Negara (PLN), dan Pihak Berkuasa Pelaburan Indonesia (INA) untuk merancang menghentikan loji CEP Cirebon-1, loji 660 megawatt (MW) di Jawa Barat.
Pemeteraian itu, yang berlangsung di luar Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Bali, akan membincangkan usaha untuk mempercepatkan penutupan loji itu sejajar dengan peralihan tenaga Indonesia ke arah pelepasan sifar bersih.
“Apabila persetujuan muktamad dicapai, ADB akan menyediakan kemudahan penutupan awal dalam bentuk hutang senior, dengan syarat tempoh perjanjian pembelian kuasa antara CEP dan PLN akan dipendekkan,” kata bank pembangunan itu dalam satu kenyataan.
Urus niaga yang dirancang di bawah mekanisme peralihan tenaga (ETM) ADB itu bertujuan untuk menghentikan loji kuasa arang batu sedia ada pada jadual yang dipercepatkan dan menggantikannya dengan kapasiti kuasa bersih untuk membantu Asia dan Pasifik mengurangkan kesan terburuk perubahan iklim, katanya. – Bernama