Sunday, February 9, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    ADB ramal China, India jana pertumbuhan kukuh

    BANGKOK, 4 APRIL – Pemulihan China daripada wabak dan permintaan kukuh di India akan memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh di Asia tahun ini, kata Bank Pembangunan Asia (ADB) dalam laporan yang dikeluarkan hari ini.

    Kemas kini terbaharu ADB yang berpangkalan di Manila, Filipina meramalkan pengembangan sebanyak 4.8 peratus pada tahun ini dan seterusnya, meningkat daripada 4.2 peratus pada 2022. Ia berkata inflasi berkemungkinan rendah sedikit tahun ini dan terus jatuh pada 2024.

    Pakar ekonomi ADB berkata keputusan hujung minggu oleh negara pengeluar minyak untuk mengurangkan pengeluaran, mendorong harga minyak lebih tinggi secara mendadak, mungkin mencetuskan semula tekanan inflasi dan menambah cabaran bagi rantau ini.

    Analisis laporan itu berdasarkan andaian bahawa minyak mentah Brent, asas penetapan harga untuk dagangan antarabangsa secara purata AS$88 setong tahun ini dan AS$90 setong tahun depan.

    Harga minyak kekal di bawah paras itu, dengan Brent pada $83 kelmarin. Tetapi ia melonjak kira-kira 5 peratus selepas Arab Saudi dan pengeluar minyak utama lain berkata mereka akan mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.15 juta tong sehari dari Mei hingga akhir tahun, di samping pengurangan yang diumumkan Oktober lalu yang menimbulkan kemarahan pentadbiran Biden.

    Bagaimanapun, peningkatan import minyak mentah Rusia, terutamanya oleh China dan India, berkemungkinan akan mengurangkan kesan kenaikan harga dengan eksport sedemikian ke China, India dan Turkiye meningkat lebih dua kali ganda tahun lepas.

    Sehingga Februari, satu pertiga daripada eksport minyak mentah Rusia pergi ke India dan lebih daripada satu perlima ke China. – AP

    Gambar fail menunjukkan pengunjung melihat kedai menjual perhiasan dan cenderamata di sepanjang jalan beli-belah pelancong di Beijing, 28 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda