Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ADB sokong pemulihan ekonomi BIMP-EAGA

    KUALA LUMPUR, 28 OKT – Bank Pembangunan Asia (ADB) sekali lagi mengesahkan sokongannya untuk pemulihan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan kerjasama serantau yang pesat semasa Sidang Kemuncak Pemimpin Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-14 yang diadakan hari ini.

    Presiden ADB, Masatsugu Asakawa berkata apabila dilanda kesukaran, tindakan yang diselaraskan akan membolehkan negara-negara mengharungi krisis dan bangkit untuk mencatatkan pemulihan yang kukuh dan bertahan.

    “ADB menyokong kerja-kerja BIMP-EAGA, sejajar dengan pemulihan ASEAN, untuk mengekalkan pasaran terbuka, memperkukuh rantaian bekalan, menyokong zon ekonomi yang rancak dan menggalakkan penyepaduan digital,” katanya dalam kenyataan.

    Sidang kemuncak itu dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Presiden Filipina, Rodrigo Roa Duterte.

    Sejak pandemik COVID-19 mula melanda, ADB telah menyediakan AS$875 juta melalui Kemudahan Akses Vaksin Asia Pasifik untuk membantu Indonesia dan Filipina memperoleh dan memberikan vaksin yang selamat dan berkesan.

    Ia menyediakan tambahan AS$1.5 bilion kepada setiap negara dalam bentuk pinjaman segera untuk menyokong tindak balas COVID-19 mereka.

    Sokongan ADB termasuk projek kesalinghubungan infrastruktur di lokasi penting bagi kerjasama serantau di Indonesia dan Filipina.

    ADB juga bekerjasama dengan kerajaan BIMP-EAGA untuk mengenal pasti strategi pemulihan transformatif dan menguruskan kerjasama serantau berikutan krisis COVID-19. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda