ADB turunkan unjuran pertumbuhan

KUALA LUMPUR, 11 DIS – Bank Pembangunan Asia (ADB) menurunkan unjurannya bagi pertumbuhan ekonomi di Asia kepada 5.2 peratus pada 2019 dan 2020, berikutan faktor luaran dan domestik yang dijangka akan menjejaskan pertumbuhan di China dan India.

Dalam bahagian tambahan kepada laporan Kemas Kini Prospek Pembangunan Asia 2019 yang mulanya dikeluarkan pada September, ADB menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau ini akan meningkat kepada 5.4 peratus pada tahun ini dan 5.5 peratus pada tahun depan sebelum menurunkannya kepada 5.2 peratus bagi kedua-dua tahun tersebut dalam laporan yang baru dikeluarkan hari ini.

Ketua Ekonomi ADB Yasuyuki Sawada berkata walaupun kadar pertumbuhan masih kukuh di Asia, ketegangan perdagangan yang berterusan memberi kesan kepada rantau ini dan masih menjadi risiko yang terbesar terhadap prospek ekonomi jangka panjang.

“Pelaburan domestik turut lemah di kebanyakan negara, berikutan sentimen perniagaan yang merosot. Inflasi, sebaliknya, meningkat berikutan harga makanan yang lebih tinggi, susulan wabak demam babi Afrika telah menyebabkan harga daging itu meningkat dengan ketara,” katanya. – Bernama