BATU KAWAN – Kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) bangga apabila robot ciptaan mereka yang dinamakan ‘ADEK’ terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan FIRST Global Challenge di Singapura, Oktober lepas.
Walaupun hanya menduduki tempat ke-85 daripada lebih 190 negara yang menyertai pertandingan itu, ketua pasukan Khayra Zokree, 16, berkata ia adalah pengalaman berharga buat mereka.
“Kami namakan robot ini ‘ADEK’ kerana amat menyayanginya seperti adik sendiri dan ia sangat dekat dengan kami biarpun perlu menempuhi banyak halangan dan cabaran ketika proses menciptanya.
“Robot ini merupakan simulasi untuk tema Hydrogen Horizons yang diberikan pihak penganjur. Robot ini berupaya mengumpulkan semula hidrogen dan oksigen yang dipisahkan menjadi satu sumber tenaga baharu yang boleh diguna semula dan lebih mesra alam,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke Lam Research di sini, baru-baru ini.
Selain Khayra, pasukan itu turut dianggotai Mohammad Ammar Akhmal Abdul Wafa, Sharifah Umi Aleya Sayed Abdullah Sani, Anis Batrisyia Kamal, Muhammad Hazim Takiuddin, Wan Khadijah Wan Mohd Fakhruddin, Adriana Sofea Fadzarmarta dan Alif Daniel Salman.

Pada lawatan itu, kumpulan pelajar tingkatan empat berkenaan berpeluang mempersembahkan demonstrasi robotik hasil ciptaan mereka kepada pengurusan tertinggi Lam Research, yang merupakan penaja utama FIRST Global Challenge.
Syarikat pembekal global peralatan dan perkhidmatan fabrikasi wafer inovatif kepada industri semikonduktor itu, turut menyediakan lebih 30 orang mentor bagi membantu pasukan bertanding termasuk SAHUT dari segi bimbingan dan nasihat untuk mengembangkan lagi potensi mereka dalam membangunkan ciptaan robotik.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Pengurus Besar Lam Research International Sdn Bhd, Soon K Kuek berkata, selaku syarikat yang terlibat dalam penghasilan teknologi, adalah menjadi komitmen dan keutamaan mereka untuk melahirkan bakat baharu dalam kalangan generasi muda agar dapat menyumbang kepada bidang sains dan teknologi.
“Kebiasaannya mereka yang diketengahkan adalah pelajar cemerlang dari sekolah ternama. Di Lam Reseach, kita mahu peluang sama rata diberikan kepada pelajar termasuk dari kawasan luar bandar. Kita tidak mahu menjadi berat sebelah dalam hal ini kerana apa yang menjadi keutamaan ialah ketengahkan bakat tanpa mengira dari mana asal mereka,” katanya.
Beliau menambah bahawa syarikat itu telah menyumbang AS$10 juta sebagai dana untuk tempoh tiga tahun bagi memajukan misi FIRST Global untuk meningkatkan akses kepada pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di samping memupuk generasi perintis teknologi global. – Bernama