Penyanyi Adele diarahkan untuk menurunkan lagu Million Years Ago daripada semua platform penstriman seluruh dunia kerana didakwa meniru karya orang lain.
Perintah itu diarahkan oleh Mahkamah di Brazil selepas seorang komposer negara itu, Toninho Geraes mendakwa Adele melakukan plagiat terhadap karyanya.
Memetik laporan The Guardian, perintah itu menuntut syarikat rakaman Adele membayar denda AS$8,000 bagi setiap tindakan ketidakpatuhan.
Mahkamah Brazil juga memerintahkan syarikat rakaman Adele untuk menghentikan segera secara global, daripada menggunakan, menghasilkan semula, menyunting, mengedar atau mengkomersialkan lagu tersebut termasuk menerusi fizikal dan platform digital, penstriman atau perkongsian.
Bagaimanapun syarikat rakaman penyanyi berkenaan masih boleh membuat rayuan berhubung perkara itu sementara menunggu tindakan lanjut mengenai kes berkenaan.
Sementara itu, Geraes mendakwa Adele menciplak muzik samba klasiknya Mulheres yang dirakam oleh penyanyi terkenal Brazil, Martinho da Vila menerusi album terbitan 1995.
Dia turut memfailkan saman bagi kehilangan royalti, ganti rugi moral AS$160,000 serta kredit penulisan di lagu Adele.
Bukan hanya di Brazil, lagu Million Years Ago juga didakwa serupa dengan lagu 1985 nyanyian penyanyi Kurdish, Ahmet Kaya.
Bagaimanapun sehingga kini, syarikat rakaman Adele masih lagi tidak memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/12/5-Adele_f.jpg)