Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adele sedia merakam perjalanan hidup dalam buku pertama

    Selepas bertahun-tahun mengelak daripada berkongsi kisah hidupnya, Adele akhirnya bersetuju menandatangani perjanjian bernilai jutaan ringgit untuk menulis sebuah autobiografi.

    Buku yang dinantikan itu bakal mendedahkan sisi sebenar penyanyi berusia 37 tahun ini daripada zaman kanak-kanak di Tottenham, pengalaman di BRIT School, perjalanan karier muzik yang luar biasa, hinggalah ke babak penuh emosi dalam kehidupan peribadinya termasuk kisah cinta dan perjalanannya menjadi seorang ibu.

    Kali ini, dia dikatakan sudah bersedia untuk tampil dengan kisah penuh eksklusif dengan kenyataannya sendiri dan jauh daripada gosip dan tajuk sensasi media.

    Selain projek buku, Adele juga dikhabarkan sedang merancang untuk kembali ke pentas dunia dengan jelajah konsert berskala besar serta berkemungkinan melancarkan muzik baharu.

    Jika benar, ia pastinya akan menjadi momen paling dinanti peminat selepas kejayaannya memecahkan pelbagai rekod dalam siri konsert residensi Las Vegas dan Munich.

    Di Munich, Adele bukan sahaja mengumpulkan lebih 730,000 penonton daripada 10 konsert terbuka, malah mencipta sejarah dengan dua pengiktirafan Guinness World Records iaitu kehadiran penonton terbesar bagi konsert residensi di luar Las Vegas.

    Konsert tersebut juga turut menggunakan penggunaan skrin LED luar berterusan terbesar yang menjadikan persembahannya lebih epik dan memukau.

    Dalam masa sama, bintang bertaraf global ini terus mengukuhkan statusnya sebagai salah seorang artis wanita terkaya dunia.

    Akaun syarikatnya mendedahkan nilai kekayaan Adele kini mencecah £170 juta, hasil daripada kejayaan siri residensi, jualan album serta empayar perniagaannya.

    Dengan buku baharu, jelajah dunia dan muzik terbarunya, semakin jelas Adele masih menjadi bintang yang sukar ditandingi.

    Peminat tegar akan tetap setia menunggu dan menyaksikan bagaimana bab baharu dalam hidupnya akan ditulis oleh Adele sendiri, kali ini. – Agensi

    Adele bersetuju menandatangani perjanjian bernilai jutaan ringgit untuk menulis sebuah autobiografi. – mStar

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda