Enggan dibandingkan dengan anggota asal One Nation Emcee (ONE), Adeline Tsen berharap peminat tidak keliru dengan penyertaannya dalam kumpulan berkenaan.
Katanya, dia tidak menggantikan tempat sesiapa, sebaliknya penyertaannya dalam ONE bagi memberikan nafas baharu kepada kumpulan yang kini dianggotai Sabhi Saddi, Jojoe Fly dan Kozae Murtaza, selepas Mimi Fly membuat keputusan memberi tumpuan kepada kerjaya solo.
Mimi yang juga anggota asal ONE sejak kumpulan ditubuhkan pada 2008 memilih bergerak sendiri, selepas dua minggu program realiti Gegar Vaganza musim keenam melabuhkan tirai, tahun lalu.
“Jika ada yang ingin membandingkan kami, itu terpulanglah kepada mereka. Ini kerana setiap orang mempunyai pendapat masing-masing.
“Cuma, saya ingin menegaskan saya tidak menggantikan sesiapa dalam ONE. Sebaliknya, kehadiran saya bagi memberikan nafas baharu kepada ONE.

“Mungkin ada yang mempertikaikan kebolehan saya dalam bidang nyanyian kerana saya tidak terlalu menggembar-gemburkan pembabitan dalam dunia seni suara,” katanya kepada media.
Adeline berkata, dia sedar peminat hanya mengenalinya sebagai pelakon, tetapi dia sudah lama menyanyi.
“Saya pernah mengeluarkan single dan sering tampil dalam acara persembahan. Cuma, saya tidak terlalu mendedahkan aktiviti nyanyian,” katanya yang sudah pun membuat persembahan pertama bersama ONE pada 16 Februari lalu di Singapura.
Pelakon drama Hotel Mania itu berkata, dia gembira melihat peminat menerima baik kehadirannya dalam kumpulan itu.
Melihatkan sokongan diberikan peminat menyuntik semangatnya untuk memberikan persembahan terbaik. – Agensi