KUALA LUMPUR, 9 OKT – Forum Telekomunikasi Asia Pasifik ke-20/Pembangunan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ADF-20) yang bermula hari ini di sini membincangkan pelbagai perkara berkaitan ekonomi digital, kecerdasan buatan dan teknologi telekomunikasi (ICT) seperti 5G, Wi-Fi dan satelit.
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam kenyataan memaklumkan forum dua hari anjuran Telekomuniti Asia Pasifik (APT) itu merupakan dialog tahunan serta inisiatif berterusan APT untuk berkongsi isu dan cabaran pembangunan sektor ICT di negara masing-masing.
“APT ialah pertubuhan antara kerajaan yang beroperasi serta bekerjasama dalam sektor pemberi khidmat telekomunikasi, sektor pembuatan peralatan komunikasi termasuklah penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam bidang telekomunikasi dan ICT.
“Sebagai sebuah pertubuhan yang bersifat serantau, APT memfokuskan wilayah Asia Pasifik dan keahlian APT terdiri daripada 38 negara termasuk Malaysia, empat ahli bersekutu dan 144 ahli gabungan,” menurut kenyataan berkenaan.
Menurut KKD, penganjuran ADF-20 disusuli penganjuran Persidangan Pembangunan Kapasiti 2023 (CDC23) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selama dua hari bermula Rabu ini.
CDC23 akan membincangkan isu dan cabaran bagi mewujudkan tenaga kerja dalam sektor telekomunikasi dan ICT di Malaysia dan rantau Asia Pasifik dalam rangka menyediakan ekosistem digital yang mapan.
Seramai 254 peserta dari 38 negara di rantau Asia Pasifik, wakil-wakil kementerian dan kerajaan negeri, pemain industri tempatan dan luar negara serta ahli akademik dijangka menghadiri forum berkenaan. – Bernama


