Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Demensia bukan sahaja mempunyai kesan fizikal, psikologi, sosial dan ekonomi kepada mereka yang hidup dengan demensia tetapi juga kepada penjaga, keluarga dan masyarakat.
Sering kali terdapat kurang pemahaman dan kesedaran mengenai demensia dalam kalangan orang ramai yang menyebabkan stigma serta halangan kepada diagnosis dan penjagaan.
Dalam hubungan itu, penubuhan demensia Brunei (dB) bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit berkenaan, menyediakan maklumat mengenainya serta meningkatkan standard penjagaan bagi pesakit.
Perkara itu antara yang dikongsi oleh Presiden dB, Dr Teo Shyh Poh dalam kata alu-aluannya semasa perasmian Persidangan Rantau Asia Pasifik Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI-APRC) 2023 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Hadir untuk sama-sama menyempurnakan perasmian persidangan berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pemangku Menteri Kesihatan dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.




Dr Teo juga menerangkan bahawa dB merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang menitikberatkan hak individu dengan penyakit demensia yang kebanyakannya melibatkan warga emas.
Sementara itu, Pengarah Rantau ADI, Bahagian Rantau Asia Pasifik, Kusumadewi (DY) Suharya dalam ucapannya menyatakan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO) menganggarkan bahawa hampir 1,600 orang hidup dengan demensia di Brunei pada masa ini dan jumlah itu, diramalkan untuk meningkat sebanyak 365 peratus kepada 7,300 orang menjelang 2050.
Pada masa ini, jelasnya, Brunei tidak mempunyai Pelan Demensia Kebangsaan tetapi sedang merangka sebuah pelan kebangsaan yang turut meliputi demensia.
Dalam hubungan itu, beliau menyeru dan mencadangkan bagi Brunei untuk mempercepatkan pembangunan dan pelaksanaan Pelan Demensia Kebangsaan yang meliputi
kesemua tujuh bidang tindakan bagi peningkatan kualiti kehidupan mereka yang mempunyai demensia serta juga penjaga mereka di negara ini.
Persidangan selama tiga hari bermula hari ini hingga 29 Oktober itu merupakan acara bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan sokongan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Persidangan menyaksikan penyertaan daripada kira-kira 350 orang peserta dari dalam dan luar negara di mana ia mengetengahkan isu mengenai demensia dari aspek pesakit, keluarga, komuniti dan global.
Ia diisikan dengan aktiviti praktikal penjagaan, teknik terapi dan bengkel mengenai demensia di mana ia memberikan peluang bagi para peserta untuk berkongsi maklumat terkini dan inovatif melalui rangkaian global daripada individu pelbagai latar belakang dan kepakaran.

