Walaupun pertama kali bergandingan dengan Datuk Adi Putra dalam drama bersiri Sekam di Dada, pelakon, Amyra Rosli menggunakan skil lakonan sepenuhnya untuk menjayakan watak sebagai Orkid.
Lebih menarik perhatian apabila watak Orkid yang hidup bersama suami panas baran mula ‘bangkit’ dan berani untuk melawan.
“Walaupun watak itu belum bercerai, dia berani untuk membuat keputusan yang selama 20 tahun dipendamnya. Sebab itu, orang ramai merasakan bahawa inilah Orkid yang mereka nantikan.
“Ketika melakonkan babak menyumbat nasi ke mulut Nasir lakonan Datuk Adi Putra, adegan itu memang ada dalam skrip, tetapi tidak semua dialog digunakan.
“Kami banyak melakukan ad-lib, iaitu lakonan secara spontan. Babak itu juga dirakam pada hari kedua saya berada di set,” katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, perbincangan dengan Adi membuka ruang untuknya berkreativiti dalam menjayakan watak sebagai Orkid itu.
“Ketika itu, saya masih baru dalam mengenali Datuk Adi Putra. Namun, saya berjaya melakonkannya dengan baik kerana Datuk memberi kebebasan kepada saya untuk mengekspresikan watak.
“Dia hanya duduk diam dan membiarkan saya membawa adegan itu mengikut kreativiti sendiri. Pada mulanya, saya bertanya, ‘Bang, okey ke kalau saya buat macam ni?’. Dia menjawab, ‘Okey, kalau nak guna sudu pun boleh’.
“Tapi saya rasa sudu agak bahaya untuk adegan itu, jadi saya bertanya lagi sama ada boleh saya nak gunakan tangan. Dia pun serahkan kepada saya, asalkan saya selesa.
“Mungkin sebab itulah adegan itu nampak lebih ‘all out’, kerana Datuk Adi memberikan kebebasan penuh kepada saya untuk membawakan watak mengikut cara sendiri,” katanya.- Agensi