Tuesday, March 25, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adi Putra seronok dikecam gara-gara babak drama

    Babak pelakon Amyra Rosli menyumbat nasi ke mulut aktor Datuk Adi Putra menerusi drama bersiri Sekam Di Dada nampaknya membuatkan penonton berasa puas dengan aksi tersebut.

    Pertama kali digandingkan, menurut Amyra atau Nur Amira Izzati Rosli, 34, babak itu memang ada dalam skrip dan sudah meminta izin Adi sebelum melakukan adegan berkenaan.

    “Babak tu memang ada dalam skrip, waktu itu baru hari kedua di set penggambaran dan baru nak kenal Adi.

    “Tapi syukur saya dapat buat dengan jayanya sebab Adi tak kisah saya nak buat apa pada dia.

    “Saya cakap nak guna tangan sebab sudu bahaya dan dia okay,” katanya kepada mStar.

    Amyra berkongsi perkara itu ketika ditemui pada satu pertemuan di Setia City Mall, Shah Alam, Selangor pada petang kelmarin.

    Sementara itu, Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 44, memberitahu babak berkenaan dilakukan sekali tanpa diulang.

    Tambah Adi, babak itu adalah satu kejayaan kepada produksi kerana berjaya menawan hati penonton sehingga menjadi bualan hangat di media sosial.

    “Bagi saya babak itu melekat di hati penonton sebab ramai geram dengan watak saya. Apa dilakukan Amyra itu adalah seperti mewakili perasaan penonton,” ujarnya.

    Malah Adi turut mengucapkan terima kasih kepada warganet yang mengecamnya kerana itu bukti lakonannya berjaya sampai ke hati penonton. “Saya sangat bersyukur apabila dikecam sebab sudah lama tak kena kecam!

    “Terima kasih kepada yang mengecam kerana itu tandanya lakonan saya sampai ke hati mereka,” jelasnya.

    Selain Amyra dan Adi, pelakon lain turut membintangi drama Sekam Di Dada ialah Josiah Hogan, Qistina Khaled, Auni Yusri, Puteri Sarah serta Arash Mohd. – Agensi

    Adi gembira dikecam menunjukkan lakonannya berkesan. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda