Nasib menimpa kru belakang tabir yang makin terhimpit berikutan kebenaran menyambung kerja penggambaran yang belum dilaksanakan sepenuhnya cukup dirasai penyanyi dan pelakon, Adibah Noor.
Penutupan sektor kreatif bagi Adibah, tidak dirasai artis yang masih mampu menjana pendapatan melalui sumber lain, tetapi bagi pekerja belakang tabir, mereka terputus mata pencarian.
Bagi penyanyi lagu Terlalu Istimewa ini, sektor seni harus dibuka kerana membabitkan kelompok kerja kecil tanpa kehadiran orang awam.
Apatah lagi, bagi Adibah, sebahagian daripada kru sudah melengkapkan dua suntikan dos vaksin COVID-19, namun, apa yang menjadi tanda tanya, mereka masih belum dibenarkan bekerja.
“Rata-rata penggiat industri seni sama ada di pentas atau hadapan lensa kamera semakin resah dan sangat tenat.

“Penyanyi dan pelakon mungkin masih mampu menjana pendapatan melalui cara lain, namun, bagaimana dengan nasib kru dan orang belakang tabir yang tidak boleh bekerja?” katanya kepada media.
Adibah berkata, program televisyen (TV) contohnya, masih boleh diterbitkan tanpa kehadiran penonton.
“Hanya artis yang membuat persembahan dan kru produksi dibenarkan berada di set.
“Jika program itu menggunakan khidmat juri, merekalah yang diundang ke set tanpa kehadiran penonton. Begitu juga penggambaran drama yang tidak dilakukan di tempat tumpuan ramai.
“Penggambaran di kedai makan atau kompleks beli-belah bagi saya, tiada masalah. Di mana-mana sahaja tidak ramai orang sekarang.
“Kebanyakan pengunjung pergi ke pusat beli-belah untuk membungkus makanan dan pulang. Saya tidak faham kenapa sektor seni masih belum dibuka?” katanya.
Sementara itu, berkongsi mengenai filem lakonannya, Fundamentally Happy yang ditayangkan di platform Mubi selepas hampir enam tahun ‘diperam’ akibat tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF), Adibah sangat teruja dan tidak menganggap filem itu terlambat.
Adibah yang memegang teraju utama dalam filem terbitan produksi Singapura itu memberitahu, tayangan di platform MUBI disifatkan tepat pada masanya ketika pandemik melanda.
“Bagi saya, tiada istilah masa yang sesuai untuk filem ini ditayangkan. Malah, tepat pada masanya ketika rakyat di negara kita rata-rata memilih platform Over The Top (OTT) akibat penutupan pawagam.
“Saya anggap semua yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin dahulu belum masanya untuk filem ini ditayangkan di sini,” katanya.
Diminta mengulas dakwaan filem Fundamentally Happy sengaja menyentuh sensitiviti umat Islam berikutan paparan orang alim yang terbabit dengan isu pedofilia, Adibah menjelaskan, filem berkenaan tiada kena mengena dengan agama mahupun bangsa, sebaliknya sikap individu.
“Sebenarnya, filem itu bukanlah mengenai isu pedofilia atau Islam.
“Ketika menerima naskhah itu, saya tidak fikir filem itu sensitif atau memburukkan orang Melayu atau Islam.
“Secara dasarnya filem itu berkisar seorang insan yang tiada kena mengena dengan agama mahu pun bangsa. Insan itu adalah suami kepada watak Kak Bibah yang saya bawakan… Itu sahaja,” katanya.
Fundamentally Happy arahan Lei Yuan Bin dan Tan Bee Thiam mengisahkan mengenai Habiba dan Eric lakonan Joshua Lim, iaitu rakan baik yang bertemu selepas 20 tahun. Habiba berkahwin dengan seorang guru agama dan kehidupan mereka sangat bahagia. Bagaimanapun, Eric mendapat tahu suami Habiba adalah suspek utama dalam beberapa kes pencabulan pelajarnya dan bercadang membawa kes itu ke muka pengadilan. Ini menyebabkan hubungan Eric dan Habiba keruh. – Agensi