Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adibah Noor terkesan tempias COVID-19

    Penyanyi Terlalu Istimewa, Adibah Noor mengaku terpaksa menjual rumah dan menggadai barang kemas berikutan kesempitan wang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac lalu.

    Hilang mata pencarian akibat penularan COVID-19, Adibah memberitahu, artis seperti dirinya tidak terkecuali daripada menerima kesan penularan virus itu, sama seperti orang lain.

    Namun, kata Adibah atau nama penuhnya, Adibah Noor Mohamed Omar, 50, ramai menyangka anak seni yang dilihat di atas pentas atau hadapan lensa, hidup mewah.

    “Saya menerima banyak mesej dalam media sosial yang memohon bantuan kewangan. Mana yang saya boleh dan sempat bantu, saya tolong.

    “Pekerja seni macam saya yang berada di depan lensa kamera dan atas pentas, memang nampak macam mewah, sering kali muat naik video atau gambar untuk menunjukkan kami masih aktif bekerja dalam bidang seni.

    Adibah Noor mengaku terpaksa menjual rumah dan menggadai barang kemas berikutan kesempitan wang sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan. – Agensi

    “Hakikatnya, ketika PKP, saya tidak ada kerja langsung sekali gus tiada pendapatan.

    “Jadi, selepas PKP, iaitu pada fasa pemulihan, barulah dapat tawaran kerja sedikit demi sedikit untuk berlakon, menyanyi dan sebagainya,” katanya yang berkongsi video meluahkan masalah kewangan yang dihadapi ketika PKP.

    “Walaupun ketika PKP tiada pendapatan, saya tetap perlu membayar gaji pekerja dan menyediakan makanan untuk 37 ekor kucing peliharaan saya.

    “Saya bukan nak mengadu, ini juga bukan curahan perasaan untuk menagih simpati. Saya cuma nak beritahu hakikatnya, saya juga mempunyai masalah sendiri.

    “Minta maaf saya tak dapat membantu orang lain kerana saya kena bantu diri saya sendiri.

    “Apa-apapun, saya doakan semoga kita semua dapat mencari rezeki. Semoga Tuhan permudahkan segala urusan kita,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda