CARACAS, 4 FEB – Adik beradik lelaki dan perempuan yang dituduh membunuh Canserbero, penyanyi Venezuela yang pernah dinamakan sebagai penyanyi rap berbahasa Sepanyol terbaik oleh Rolling Stone, dijatuhi hukuman penjara 25 tahun, kata peguam negara, Tarek William Saab pada Jumaat.
Tyrone Gonzalez, atau lebih dikenali sebagai Canserbero, meninggal dunia pada 2015 pada usia 26 tahun akibat terjatuh dari tingkat 10 sebuah bangunan pangsapuri di Maracay di utara Venezuela.
Penyiasat pada masa itu memutuskan dia telah membunuh diri selepas membunuh rakannya Carlos Molnar dalam satu pergaduhan.
Tetapi kes itu dibuka semula tahun lalu, dan pada bulan Disember Saab menunjukkan kepada pemberita pengakuan video adik-beradik Natalia dan Guillermo Amestica.
Dalam salah satu video, Natalia Amestica berkata dia telah membius Canserbero dan Molnar yang merupakan suaminya kemudian menikam mereka.
Abangnya kemudian membantu menutup jenayah itu, melancarkan pergaduhan dan melemparkan mayat Canserbero dari tingkap, menurut pengakuan yang dirakamkan.
Saab berkata pertikaian mengenai wang telah membawa kepada jenayah itu.
Pada Jumaat mahkamah “terus menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun ke atas kedua-dua mereka,” katanya di televisyen negara. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/Penjara-scaled.jpg)