Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adik-beradik idam lakar kejutan di Hanoi

    KUALA LUMPUR, 25 APRIL – Siapa sangka keserasian dibentuk menerusi pertalian darah mampu membuka ruang kepada pasangan adik-beradik untuk bergandingan bagi menggalas cabaran negara dalam acara kayak pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei depan.

    Bagi Aimi Ayuni Azwan, 24, dan Aisyah Farhanah Azwan, 22, biarpun tidak meletakkan sasaran pingat, mereka bertekad untuk mencipta kejutan pada temasya di Hanoi itu.

    Aimi Ayuni berkata bersandarkan keserasian yang ada antara mereka, impian itu dilihat tidak mustahil dicapai selepas mula bergandingan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Perlis.

    “Hasil gandingan itu, kami berjaya memperoleh pingat perak dalam acara K2 wanita dan ia adalah satu pembakar semangat yang kami boleh berjaya pada kejohanan seterusnya,” kata beliau kepada Bernama.

    Mengulas lanjut, Aimi Ayuni berkata beliau mula menaruh minat menceburi sukan berkenaan selepas melihat pembabitan abangnya Amirul Azfar Azwan dalam acara tersebut. 

    “Pada mulanya hanya secara suka-suka tetapi kemudian kami benar-benar serius menceburi sukan ini,” katanya.

    Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu berkata bahawa sebagai persiapan menghadapi temasya tersebut banyak latihan intensif dilakukan bagi memantapkan penguasaan teknik dayungan dengan bimbingan jurulatih dari Hungary, Laszlo Toth. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda